Utusan Borneo (Sarawak)

Pemansuhan hukuman mati belum dibincang di peringkat kabinet

-

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan untuk memansuhka­n hukuman mati mandatori masih belum dibincangk­an di peringkat Kabinet setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata kerajaan masih menunggu maklum balas dan penelitian menyeluruh daripada Jabatan Peguam Negara sebelum ia dibawa ke Kabinet untuk tindakan lanjut.

“Pada ketika ini prosesnya masih di Jabatan peguam Negara (AGC). Masih belum di peringkat Kabinet lagi. Tentang berapa lama proses ini akan ambil masa...saya harap ia selesai menjelang bulan depan, diharapkan selepas pembentang­an belanjawan (Belanjawan 2019),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, semalam.

Liew berkata beliau telah diarahkan untuk mengeluark­an moratarium kepada pihak Lembaga Pengampuna­n supaya menangguhk­an pelaksanaa­n hukuman mati kepada semua pesalah yang menunggu hukuman gantung.

Terdahulu, ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 untuk kementeria­nnya, Liew berkata kerajaan tidak tergesa-gesa untuk meman- suhkan hukuman mati.

Beliau berkata kerajaan akan meneliti semua pandangan dan membuat kajian menyeluruh bagi cadangan pemansuhan hukuman mati yang melibatkan 32 kesalahan di dalam lapan akta berkenaan.

Liew berkata kerajaan telah menjalanka­n satu kajian berhubung pemansuhan hukuman berkenaan yang dilaksanak­an I-CeLLS, organisasi di bawah naungan Jabatan Peguam Negara, yang turut melibatkan pakar terulung dunia dari University of Oxford, Profesor Roger Hood sebagai perunding kajian berkenaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia