Cukai Warisan akan terus melembapkan pasaran hartanah
KUALA LUMPUR: Pengenalan Cukai Warisan adalah tidak sesuai untuk diperkenalkan buat masa sekarang kerana ia akan melemahkan pasaran hartanah, kata persatuan industri hartanah.
Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta dan Perunding Harta Swasta Malaysia (PEPS) berkata jika cukai warisan dicadangkan dalam Bajet 2019, ambang minimum yang dikenakan sepatutnya berada pada RM10 juta dan kadar pewarisan sebanyak lima peratus pada RM10 juta dan ke atas.
Persatuan difahamkan bahawa kerajaan bercadang untuk melaksanakan cukai warisan dan cukai keuntungan harta tanah bagi menampung kekurangan hasil akibat penarikan balik cukai barang dan perkhidmatan, termasuk untuk mengurangkan beban hutang serta liabiliti sebanyak RM1.087 trilion.
“Bagaimanapun, melihat kepada kelembapan dalam kitaran sektor hartanah sekarang ini, jika cukai itu dilaksanakan, ia akan terus menjejaskan pasaran hartanah dan tidak sesuai untuk diperkenalkan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.
PEPS ketika bercakap mengenai cukai keuntungan harta tanah, berkata walaupun tiada bukti ke atas spekulasi yang diberikan, pasaran telah melembap sejak dua tahun lepas.
Oleh itu, PEPS mengesyorkan struktur cukai harta tanah semasa (semakan terakhir pada 2015) dikekalkan sehingga pasaran hartanah stabil.
Dalam Bajet 2018 dulu, cadangan untuk menambah kadar duti setem kepada empat peratus daripada tiga peratus untuk hartanah yang melebihi RM1 juta, yang sepatutnya berkuatkuasa pada 1 Jan 2018, telah ditangguhkan.
“Bagi Bajet 2019, disebabkan pasaran hartanah masih belum pulih, kami cadangkan kadar empat peratus itu ditangguhkan untuk setahun lagi.
“Sehingga 1 Jan 2017, kerajaan telah mengecualikan duti setem hartanah 100 peratus untuk pembeli rumah kali pertama membabitkan hartanah yang mencecah sehingga RM300,000.
“Pengecualian itu telah berakhir pada 31 Dis 2018. PEPS berharap kerajaan akan meningkatkan had pengecualian duti setem 100 peratus bagi hartanah berharga sehingga RM500,000 untuk memudahkan dan meningkatkan lagi permintaan harta tanah di bawah RM500,000,” katanya. — Bernama