IPD BAU AKAN PERHEBAT OPERASI TANGANI JENAYAH RENTAS SEMPADAN
BAU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau akan melipatgandakan operasi perbatasan Malaysia-Indonesia di daerah berkenaan dalam usaha mengurangkan kegiatan jenayah rentas sempadan.
Demikian menurut Ketua Polis Daerah DSP Poge Nyaon yang turut memberitahu pihaknya akan mengeratkan lagi kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI).
“Sebagai contoh ialah di Serikin yang merupakan kawasan tumpuan ramai, jadi kita akan meningkatkan lagi pengawasan di sana dan turut mengeratkan lagi kerjasama dengan pasukan keselamatan dari Indonesia (TNI).
“Kita sedia maklum juga, sempadan Bau-Kalimantan Barat adalah di bawah pengawasan ATM, namun kita tetap akan memberikan kerjasama sepenuhnya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas jawatan Ketua Polis Daerah Bau yang sebelum ini disandang oleh ASP Damataries Lautin menggantikan DSP Mohd Sabri Zainol di sini, semalam.
Poge yang sebelum ini menjawat jawatan sebagai Pegawai Turus Ketenteraman Awam (KDNKA) Sarawak juga memberitahu akan menumpukan kepada Kepolisan Komuniti.
“Saya akan turun padang untuk berjumpa dengan ketua-ketua masyarakat, termasuk agensi kerajaan yang ada di daerah ini (Bau) dalam usaha untuk mengeratkan lagi hubungan baik yang sedia ada,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memberitahu akan memperkasakan Unit Kereta Peronda Polis (MPV) IPD Bau.
“Ini antara rancangan kita memandangkan MPV merupakan barisan hadapan,” katanya.
Majlis serah terima tugas tersebut semalam disaksikan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Dato Pahlawan Mohd Dzuraidi Ibrahim.