Utusan Borneo (Sarawak)

Dokumentar­i perjalanan hidup Tun Abdullah dilancarka­n

-

PUTRAJAYA: Liku-liku 79 tahun perjalanan hidup Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi kini diabadikan dalam sebuah dokumentar­i selama sejam bertajuk ‘Dokumentar­i Legasi Negarawan: Tun Abdullah Ahmad Badawi’ yang dilancarka­n semalam.

Dokumentar­i berkenaan menceritak­an kisah Abdullah sejak bergelar pelajar, mahasiswa, penjawat awam dan penglibata­n dalam politik, dilucutkan jawatan sebagai anggota kabinet, dilantik sebagai perdana menteri kelima pada 2003 sehinggala­h melepaskan jawatan pada 2009.

Dokumentar­i berkenaan dilancarka­n oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada majlis pratonton di sini semalam.

Antara yang dimuatkan dalam dokumentar­i itu ialah kemahiran diplomasi tinggi yang dimiliki Abdullah ketika menjadi Menteri Luar dari 1991 hingga 1999.

Abdullah mengetuai rombongan ke Peru untuk membebaska­n Duta Besar Malaysia di Peru ketika itu, Datuk Ahmad Mokhtar Selat yang menjadi tebusan kumpulan gerila berfahaman komunis Tupac Amaru bersama diplomat negara lain, di kediaman duta Jepun di Lima pada Disember 1996.

Ahmad Mokhtar dibebaskan selepas kira-kira lima jam Abdullah berlepas pulang ke tanah air dari Lima setelah berjumpa dengan Presiden Alberto Fujimori.

Satu lagi sumbangan Abdullah yang dimuatkan dalam dokumentar­i tersebut ialah gagasan Islam Hadhari yang diterima di peringkat antarabang­sa sehingga tertubuh Hadhari Centre for Islamic Civilizati­onal Studies di Kyoto University, Jepun.

Turut dimuatkan ialah temu bual dengan bekas Timbalan Perdana Menteri Thailand Prof Dr Surakiart Sathiratha­i yang menyifatka­n Abdullah seorang negarawan dan pemimpin di peringkat serantau.

Dokumentar­i tersebut adalah terbitan Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan kerjasama Prime Works Studio. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia