Pemahaman penting elak konflik manusia-buaya
Ia berikutan peningkatan populasi spesies buaya katak di sungai-sungai di Lawas, Sarawak
Program pendidikan dan kesedaran konflik manusia dan buaya penting dalam menyampaikan maklumat penting kepada mereka yang tinggal di sepanjang sungai.
LAWAS: Penduduk Sarawak perlu memahami secara mendalam mengenai habitat buaya berikutan peningkatan populasi spesies buaya katak di sungai-sungai di Lawas dan negeri ini.
Wakil Residen Bahagian Limbang Joseph Surang Ganan berkata, sungai masih penting untuk sumber makanan, bekalan air dan perhubungan maka adalah menjadi kewajipan bagi penduduk memahami secara mendalam tentang tabiat dan habitat buaya bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.
Beliau berkata, peningkatan populasi buaya sejak kebelakangan ini menyebabkan peningkatan konflik antara manusia dan buaya.
“Program pendidikan dan kesedaran konflik manusia dan buaya penting dalam menyampaikan maklumat penting kepada mereka yang tinggal di sepanjang sungai,” katanya ketika merasmikan Program Pendidikan dan Kesedaran Konflik ManusiaBuaya di Lawas di Hotel Seri Malaysia, Lawas kelmarin.
Joseph berkata lagi, masyarakat perlu melihat konflik tersebut dari sudut positif khususnya dalam sektor pelancongan dan industri pembuatan yang berasaskan kulit buaya.
Terdahulu Timbalan Kon- troler Hidupan Liar Sarawak Engkamat Lading memberitahu, pihaknya telah melakukan banyak kajian di sepanjang sungai-sungai di Lawas dan mendapati popu- lasi buaya katak banyak di Sungai Lawas.
“Terdapat dua spesies buaya di Sarawak iaitu buaya katak dan buaya jenjulung yang merupakan hidupan liar terlindung di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan disenaraikan di bawah Apendiks II CITES untuk Malaysia pada peringkat antarabangsa.
“Sekarang ini, ia boleh ditangkap atau diburu untuk tujuan perdagangan di peringkat domestik atau peringkat antarabangsa dengan syarat ada lesen daripada Kontroler Hidupan Liar Sarawak dan Permit CITES,” ujarnya.
Kata beliau lagi, pemburuan dan pemerdagangan berlesen buaya ini diluluskan kerajaan untuk mengurangkan populasi buaya yang semakin meningkat, mengurangkan konflik manusia-buaya dan pada masa yang sama untuk memberi sumber pendapatan kepada masyarakat setempat di kawasan perairan yang padat dengan buaya khususnya buaya katak.
Setakat ini Jabatan Hutan telah mengeluarkan 60 lesen untuk memburu buaya katak dan 30 lesen untuk menjual haiwan berkenaan.
Di samping program kesedaran jelasnya, pelbagai program turut diadakan termasuk memasang notis pemberitahuan dan amaran di kawasan berkepadatan tinggi buaya.
Malahan katanya, mereka juga mengalu-alukan penyelidik tempatan mahupun luar untuk menjalankan kajian terhadap buaya di Sarawak.
“Kita tidak mahu buaya mengalami kepupusan di negeri ini seperti yang berlaku terhadap badak dan tembadau,” ujarnya.
Katanya, selain buaya, terdapat banyak haiwan liar lain di Lawas seperti monyet belanda, dugong, penyu dan ikan lumba-lumba.
“Lokasi Kuala Lawas amat sesuai untuk dijadikan pusat pemuliharaan dan pelancongan berasaskan biodiversiti.
“Penduduk tempatan boleh mengusahakan inap desa untuk menampung keperluan pelancongan biodiversiti ini,” ujarnya.
Joseph Surang Ganan Wakil Residen Bahagian Limbang