Utusan Borneo (Sarawak)

Beli petai guna wang palsu, peniaga dipenjara sebulan, denda RM5,000

-

KUALA LUMPUR: Akibat membeli 18 ikat petai menggunaka­n sekeping wang RM100 palsu, seorang peniaga dihukum penjara satu bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Hasbullah Adam menjatuhka­n hukuman itu terhadap Toh Kai Thong, 46, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan mahkamah memerintah­kan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula semalam.

Hasbullah turut memerintah­kan tertuduh menjalani hukuman penjara satu bulan, sekiranya dia gagal membayar denda tersebut.

Bapa anak tiga itu didakwa memiliki sekeping wang kertas not RM100 yang palsu dengan mempunyai sebab untuk mempercaya­inya sebagai palsu dan dengan niat hendak menggunaka­nnya sebagai tulen.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pasar Borong Selayang, Sentul, di sini pada jam 3.05 petang, 4 Okt lepas mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum memohon hukuman setimpal atas alasan kesalahan itu serius selain mengambil kira kepentinga­n awam supaya tertuduh dan masyarakat tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

“Mangsa dalam kes ini telah mengalami kerugian RM900 namun keru- gian itu dalam bentuk nilai barangan iaitu 18 ikat petai,” katanya.

Bagaimanap­un, Toh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan tiga anak berusia antara 12 dan 17 tahun.

“Anak- anak saya masih bersekolah dan saya perlu juga menjaga ibu bapa saya,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa sedang bekerja menjual petai di pasar borong Selayang tiba- tiba mangsa telah didatangi tertuduh dengan menaiki sebuah kenderaan yang ingin membeli 18 ikat petai dengan harga RM900.

Tertuduh telah memberikan kepada mangsa sembilan keping not RM100 sebagai bayaran, namun mangsa telah memulangka­n semula sebanyak lapan keping not RM100 kerana majikannya tidak membenarka­n mangsa untuk mengambil wang besar tetapi hanya mengambil wang kecil daripada pelanggan.

Bagaimanap­un tertuduh telah memarahi mangsa kerana telah memulangka­n semula wang tersebut dan tertuduh bertindak memecut kereta dan membawa lari sebanyak 18 ikat petai dari kedai itu.

Mangsa mendapati bahawa sekeping wang kertas not RM100 yang diterima adalah palsu dan mangsa telah membuat laporan polis dan hasil semakan dari Bank Negara Malaysia mendapati wang kertas tersebut adalah palsu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia