Utusan Borneo (Sarawak)

Kes saman guru: KPM tunggu laporan JPN Sabah

-

SHAH ALAM: Kementeria­n Pendidikan ( KPM) masih menunggu laporan terperinci daripada Jabatan Pendidikan Negeri ( JPN) Sabah berhubung kes bekas pelajar sebuah sekolah di Kota Belud yang memfailkan saman terhadap bekas gurunya atas dakwaan tidak masuk kelas selama tujuh bulan.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata sekiranya dakwaan remaja perempuan berusia 18 tahun itu benar, ia adalah satu perkara yang sangat mengecewak­an.

“Kalau memang aduan telah dibuat tetapi perhatian sewajarnya tidak diberi terhadap aduan tersebut jadi saya rasa kita perlu semak bahagian mana, jika ada kesilapan atau kesalahan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Wisma Kesatuan Perkhidmat­an Perguruan Kebangsaan Semenanjun­g Malaysia (NUTP) Selangor di Seksyen 7 di sini, semalam.

Turut hadir Presiden NUTP Kebangsaan Kamarozama­n Abd. Razak dan Pengerusi NUTP Selangor Abu Bakar Semaat.

Nafirah Siman, 18, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK) Taun Gusi memfailkan saman itu terhadap Jainal Jamran yang didakwa tidak masuk kelas selama tujuh bulan pada 2015, ketika remaja perempuan itu berada di tingkatan empat.

Saman yang difailkan pada 16 Okt lepas, turut menamakan pengetua sekolah berkenaan, Suid Hanapi, pegawai pendidikan daerah Kota Belud, pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, KPM dan kerajaan sebagai defendan- defendan.

Dalam samannya, Nafirah antara lain mendakwa Jainal tidak hadir mengajar dari Februari hingga Oktober 2015, kecuali pada satu minggu ketika pegawai dari KPM melawat sekolah berkenaan.

Remaja perempuan itu turut mendakwa walaupun beberapa aduan telah dibuat tetapi tiada tindakan diambil selain mendakwa pengetua menutup kes tersebut dengan memalsukan kedatangan yang hanya menunjukka­n Jainal tidak hadir selama dua bulan.

Dalam pada itu, Teo mengakui bahawa KPM berdepan masalah kekurangan guru di kawasan bandar dan luar bandar, di mana untuk sekolah rendah sahaja kira-kira 4,000 guru diperlukan.

Justeru untuk penyelesai­an tempoh masa terdekat ini, katanya, KPM memutuskan bahawa semua bakal guru yang menerima ijazah pada tahun ini akan ditempatka­n di sekolah untuk sesi 2019 dan jika masih ada kekosongan, guru interim akan dilantik bagi memastikan pengajaran dan pembelajar­an (PdP) tidak terganggu.

“Cabaran yang kita hadapi adalah untuk satu batch ( guru) perlu tunggu lima tahun, maksudnya bakal guru yang graduat pada tahun ini sebenarnya mereka masuk institusi pengajian tinggi lima tahun lepas, jadi kita perlu ada unjuran lebih tepat untuk memastikan bakal guru yang kita latih adalah seiring atau sepadan dengan kekosongan atau guru-guru yang akan bersara.

“Isu kekurangan guru sudah berlaku sejak berpuluh tahun lalu, namun, sehingga kini masih tiada penyelesai­an.

Oleh sebab itu kita juga berhasrat untuk panggil semua bahagian berkenaan bermesyuar­at supaya kita boleh lihat masalah ini daripada semua aspek supaya kita ada pendekatan terbaik untuk tempoh masa panjang bagi atasi isu ini,” katanya. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? PERASMIAN: Teo (tengah) bersama Abu Bakar (kanan) dan Kamarozama­n (kiri) menandatan­gani plak perasmian pada Majlis Perasmian Wisma NUTP Selangor di Seksyen 7 Shah Alam, semalam.
— Gambar Bernama PERASMIAN: Teo (tengah) bersama Abu Bakar (kanan) dan Kamarozama­n (kiri) menandatan­gani plak perasmian pada Majlis Perasmian Wisma NUTP Selangor di Seksyen 7 Shah Alam, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia