Utusan Borneo (Sarawak)

Terima apa jua keputusan pada proses pemilihan di Limbang: Baru

-

LIMBANG: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat ( PKR) Sarawak yang juga Menteri Kerja Raya Baru Bian mahu setiap ahli PKR Cabang Limbang menerima apa jua keputusan yang dibuat pada proses pemilihan di Limbang, semalam.

“Apa jua keputusan yang dibuat pada pemilihan PKR Cabang Limbang selepas ini semua ahli perlu kembali dan bersatu pada perjuangan parti,” ujarnya kepada media ketika meninjau proses pengundian PKR Cabang Limbang di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Yuk Hin di sini.

Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau dan ADUN Ba’ Kelalan berkata, proses pemilihan dan pengundian PKR Cabang Limbang merupakan yang terbaik dan berjalan lancar.

“Segala yang dirancang dapat dilakukan dengan baik dan teratur tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku,” ujarnya.

Beliau berkata, keputusan akan diketahui selepas proses pengundian ditutup pada jam 4 petang semalam.

Baru menjelaska­n lagi, semua ahli bebas membuat keputusan dan beliau menyokong sepenuhnya pasukan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk meneruskan agenda reformasi PKR.

“Ini bagi memastikan perjuangan reformasi yang bermula pada tahun 1998 diteruskan dalam perjuangan parti,” katanya lagi.

Hasil tinjauan yang dilakukan dari pagi hingga jam 12 tengah hari semalam, majoriti undi berpihak kepada kem Rafizi Ramli.

Lebih 500 ahli hadir setakat tengah hari semalam untuk menunaikan tanggungja­wab mengundi pada pemilihan itu.

Baru turut menyasarka­n kebih 1,000 ahli PKR Cabang Limbang akan hadir pada pemilihan kali ini.

Setakat ini, PKR Cabang Limbang mempunyai hampir 3,000 ahli berdaftar.

Hadir pada pemilihan itu ialah Penasihat PKR Cabang Limbang Dr Lau Liak Koi, Ketua Cabang PKR Limbang Edward Bulot dan Timbalan Ketua Cabang PKR Limbang Masanal@Nasir Akit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia