Utusan Borneo (Sarawak)

Mahathir tegur penjawat awam yang tidak terima prinsip demokrasi

-

KOTA BHARU: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegur penjawat awam yang tidak menerima prinsip demokrasi sekali gus enggan menerima kepimpinan baharu kerajaan.

Dr Mahathir berkata sikap sedemikian sama sekali tidak wajar kerana boleh menyebabka­n negara menjadi mundur berikutan keengganan menerima prinsip berkenaan.

“Kita memahami kerana sudah 13 kali berlaku pilihan raya umum dan setiap kali (pilihan raya diadakan) kerajaan di peringkat persekutua­n itu tidak bertukar, dan kali ini apabila bertukarny­a kerajaan, sudah tentu ada yang sukar menerima kepimpinan baharu itu.

“Ini disebabkan kerajaan terdahulu telah menanam sikap terhadap mereka termasuk menggunaka­n jentera kerajaan bekerja untuk parti dan pemimpin tertentu yang bukannya untuk bekerja membangunk­an negara dan menerapkan nilai demokrasi yang tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Sehari Bersama Perdana Menteri Dengan Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Persekutua­n/ Negeri di sini, semalam.

Beliau berkata apabila telah lama ditanamkan sikap sedemikian, penjawat awam berkenaan bukan lagi berkhidmat untuk kerajaan, sebaliknya untuk parti.

Dr Mahathir berkata apa- bila diri mereka telah diikat sebegitu rupa, penjawat awam lebih mengutamak­an kesetiaan kepada parti dan apabila kerajaan baharu didirikan, ia berdepan masalah oleh sebab ada di antara mereka ini yang masih mengikatka­n diri dengan parti lama.

Perdana Menteri berkata penjawat awam sepatutnya mematuhi dasar berkecuali dan dasar demokrasi demi pembanguna­n negara yang lebih berkesan.

“Ada pegawai yang terikat dan tidak sanggup mengiktira­f kerajaan yang baharu ini dan ini tidak baik untuk masa depan negara walaupun kerajaan memahami perkara itu,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Ma- hathir menasihatk­an agar penjawat awam lebih profesiona­l demi pembanguna­n negara dan bukannya untuk kepentinga­n pihak tertentu.

Mengenai Kelantan, Dr Mahathir berkata perbezaan politik bukan bermakna negeri itu tidak boleh dibangunka­n bersama dengan kerajaan Persekutua­n, sebaliknya hendaklah saling membantu ke arah itu.

“Jangan taksub kepada parti dan jangan jadi sebab tidak boleh menyumbang untuk pembanguna­n. Saya bukan meraih sokongan tetapi saya bercakap soal kebenaran. Kalau tidak nanti ia akan jadi bermasalah,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia