Perhalusi kaedah pendanaan awam elak kemudaratan kepada pembeli hartanah

Utusan Borneo (Sarawak) - - Nasional -

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Keusahawanan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata kaedah pendanaan awam ( crowdfunding) untuk pembelian rumah perlu dikaji dengan lebih teliti sebelum dilaksanakan supaya tidak memudaratkan golongan sasar dalam tempoh jangka panjang.

“Kaedah ini perlu diperhalusi sebelum kita menerima cadangan itu kerana mengikut pemahaman saya, ia akan memberi lebih banyak kesan negatif daripada kesan positif dalam jangka panjang.

“Dalam tempoh lima tahun, harga pasaran rumah itu mungkin akan meningkat dan ini akan memudaratkan mereka yang tidak mampu membuat pembiayaan baharu untuk membeli semula rumah itu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas merasmikan Forum Kerjasama Ekonomi ‘Zakat Rahsia Perniagaan Berjaya’ di Masjid Ar Rahah, Kerinchi di sini, semalam.

Jelasnya lagi ketidakmampuan pembiayaan itu akan menyebabkan wujudnya konsep ‘property exchange’ yang mana hartanah itu akan dijual semula.

Menurutnya lagi, keadaan ini akan menyebabkan golongan sasar yang lain tidak berpeluang memiliki hartanah dalam jangka panjang.

Dalam Belanjawan 2019 yang lalu, skim itu diumumkan untuk memacu pembinaan satu juta rumah dalam tempoh 10 tahun dengan pembeli rumah pertama hanya perlu bayar 20 peratus untuk memilik rumah manakala bakinya ditampung pelabur menerusi kerangka pembiayaan rakan setara.

Pembeli rumah yang mahu membeli rumah yang didudukinya selepas lima tahun perlu membuat pinjaman semula.

Pada masa yang sama, Redzuan menyuarakan kebimbangan kaedah itu akan memberikan kesan tidak baik kepada bidang hartanah pada masa hadapan.

“Mengikut pemahaman saya, kalau melibatkan pelaburan asing, ini akan mendedahkan peluang kepada mereka untuk memiliki hartanah di negara ini.

“Sekarang ini saya nampak belum jelas, banyak perkara mesti diketahui, kita harap skim yang bakal diperkenalkan tidak mendatangkan kemudaratan kepada pembangunan rakyat.

“Harapan kita skim ini mampu membantu golongan sasar seperti B40 yang kurang mampu untuk membeli rumah mampu milik,” katanya lagi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.