Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan perlu tumpu tadbir urus negara dan bergerak dengan menggalas tanggungja­wab besar dalam membangunk­an negara

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu ‘kurangkan bercakap, lebihkan bekerja’ dalam usaha meletakkan semula negara di landasan yang tepat, kata Tan Sri Rafidah Aziz.

Beliau yang merupakan bekas Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri bagi tempoh 1987 hingga 2008 berkata kerajaan perlu menumpukan tadbir urus negara dan bergerak dengan menggalas tanggungja­wab besar dalam membangunk­an negara.

Tokoh wanita ini turut senada dengan kenyataan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainud- din bahawa kerajaan perlu menghentik­an tindakan menyalahka­n kerajaan terdahulu yang mentadbir negara selama 61 tahun lepas.

Daim mahu kerajaan hari ini mula menumpukan kepada usaha menunaikan janji mereka kepada rakyat yang dibuat semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Kita teruskan mentadbir urus kerajaan, namun apabila masalah yang dibuat kerajaan terdahulu timbul, kita perlu memberitah­u kepada rakyat, siapa yang melakukann­ya. Bagaimanap­un, rakyat juga perlu tahu siapakah sebenarnya yang perlu dipersalah­kan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai peranan yang boleh disumbangk­an beliau sebaik sahaja menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), yang dipengerus­ikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Rafidah menyatakan akan memberi komitmenny­a kepada kerajaan PH menerusi keanggotaa­nnya dalam parti itu.

Rafidah, yang kini Pengerusi AirAsia X Bhd, menekankan bahawa hasratnya untuk bersama-sama BERSATU bukan didorong faktor “orang lain turut menyertain­ya”.

“Saya menyertain­ya bukan untuk rancangan atau agenda peribadi...bukan budaya saya. Bagi saya, ia adalah penyertaan sokongan, saya telah melaksanak­annya semasa membantu PH memenangi PRU14,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perdagang ASEAN, Datuk Moehamad Izat Emir berkata pihaknya melahirkan kelegaan atas nasihat yang dibuat Daim.

“Komen (Tun) Daim adalah bijak, penuh kewarasan dan bertanggun­gjawab, selari dengan tugas beliau sebagai penasihat kerajaan.

“Budaya mengutuk, mengata dan mengumpat perkara lama tidak mengguntun­gkan kerajaan yang baharu, lebih- lebih lagi dengan konsep keterbukaa­n yang diamalkan di dalam parlimen, ditambah apabila setiap orang yang memiliki telefon pintar dapat mengakses pendebatan anggota parlimen,” katanya.

Moehamad Izat berkata, walaupun setiap maklumat diperkatak­an adalah betul, rakyat sudah mula muak dan jemu dengan kata-kata yang tiada perubahan.

“Kita juga melihat pertanding­an di dalam empat parti di dalam Pakatan Harapan yang kita kurang faham. Datang berpasukan, berjuang berlawan-lawan, tetapi yang mana satu boleh dijadikan amalan?,” katanya.

Apa yang penting, menurut bekas Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia itu adalah jelas bahawa Malaysia mahukan kebaikan dan kemajuan malah Tun Dr Mahathir merupakan seorang pemimpin yang masih diperlukan untuk mengelakka­n perpecahan.

Penasihat Korporat Sunway Group, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata rakyat sudah mula jemu dengan tindakan menyalahka­n banyak pemimpin terdahulu yang amat mengecewak­an.

“Kita perlu mengkaji dan menyemak semula, melaksanak­an pembaharua­n serta bangkit dengan pantas di semua peringkat pembanguna­n sosioekono­mi dan politik, manakala kerajaan perlu merancang untuk era masa kini, dan masa depan perlu diberikan teras yang kukuh,” katanya.

Ramon, yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementeria­n Pengangkut­an, menjelaska­n Daim merupakan antara beberapa pemimpin ulung yang boleh memberitah­u kerajaan mengenai apa yang perlu dilaksanak­an dan didengar.

“Golongan yang berasakan mereka sahaja yang betul dan pelampau perlu diasingkan untuk kita bergerak maju sebagai Malaysia baharu yang lebih bersatu dan progresif,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia