Maklumat peribadi informan polis tetap sulit
Orang awam tidak perlu takut jika miliki maklumat perjudian di sekitar mereka
SIBU: Maklumat peribadi informan polis atau pemberi maklumat tetap sulit dan tiada yang perlu ditakuti oleh orang awam jika mereka mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti jenayah perjudian di persekitaran mereka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri SAC Dennis Leong Soon Kuai berkata, semua identiti informan akan disimpan sebagai rahsia.
“Terdapat segelintir orang awam bimbang polis akan meminta nama dan nombor telefon mereka apabila mereka memanggil kami.
“Mereka bimbang sesuatu yang buruk akan berlaku kepada mereka apabila butir-butir mereka diberikan kepada polis,” katanya.
Beliau menjelaskan, pihak polis memerlukan maklumat peribadi informan supaya dapat menghubungi mereka jika tidak dapat mencari lokasi jenayah yang dimaklumkan.
Sehubungan itu katanya, polis telah menerima sejumlah 1,234 maklumat mengenai aktiviti perjudian haram di seluruh negeri sejak 1 Januari tahun ini.
Daripada jumlah itu, 993 maklumat adalah positif
SAC Dennis Leong Soon Kuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri
sekali gus membawa kepada penangkapan dan rampasan.
“Setakat ini tiada apa yang berlaku kepada pemberi maklumat ini, jadi tidak perlu bimbang untuk memberikan nama dan nombor telefon kepada polis.
“Kami memberi jaminan bahawa semua maklumat mengenai informan polis akan dirahsiakan,” katanya.
Beliau juga mahu orang ramai memberi maklumat terkini kepada polis dan bukan sesuatu yang lapuk.
“Kami memerlukan maklumat baharu kerana kami memerlukan banyak masa untuk menguruskan kes.
“Jadi jika anda melihat sesuatu, hubungi kami secepat mungkin,”katanya.
Orang ramai katanya, boleh menghubungi talian hotline CID 082-274213.
Katanya, polis Sarawak telah melancarkan operasi secara besar- besaran memerangi perjudian haram yang kini sangat berleluasa.
“Lawatan saya ke sini pagi ini ( kelmarin) adalah untuk mendedahkan pelbagai cabaran yang dihadapi polis di daerah berlainan mengenai perjudian haram.
“Kami perlu mencari cara untuk memperbaiki apa yang telah kami lakukan,” katanya.
Polis juga bekerjasama dengan operator menjual loteri yang sah mengenai cara kedua-dua pihak bersepakat untuk membanteras aktiviti perjudian haram di negeri ini.
Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit, Timbalannya Martin Koo dan Ketua CID Sibu Benedict Faris Jimoy.