Pindah kedutaan dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis ‘tidak membantu’
SINGAPURA: Malaysia pada Khamis menyifatkan langkah Australia hendak memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis sebagai sesuatu yang tidak membantu.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata menambahkan lagi punca keganasan tidak akan membantu.
Beliau berkata beliau telah menyentuh perkara itu dalam perbincangan dua hala beliau pada Khamis dengan rakan sejawatannya dari Australia Scott John Morrison di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 dan Sidang- sidang Kemuncak Berkaitan di sini.
“Saya telah membangkitkan bahawa dalam menangani keganasan seseorang itu perlulah mengetahui puncanya. Menambah punca keganasan tidak akan membantu. Saya sudah nyatakan perkara itu,” kata Dr Ma- hathir kepada pemberita selepas pertemuan itu.
“Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, Australia belum mengambil apa-apa keputusan untuk memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv dan mereka sedang mengkaji perkara itu,” kata beliau.
Amerika Syarikat mengumumkan pada bulan Jun bahawa ia akan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis yang mencetuskan rusuhan besar-besaran di Gaza yang menyaksikan lebih 50 rakyat Palestin terbunuh.
Morrison, yang mengambil alih jawatan perdana menteri pada Ogos, telah berkata beliau “terbuka” untuk mencontohi langkah itu, yang disifatkannya sebagai satu cadangan “berakal”.
Kedua-dua Dr Mahathir dan Morrison akan menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur ke-13 pada petang Khamis.
Dalam pertemuan dua hala itu, Dr Mahathir berkata beliau juga bercakap mengenai soal pendidikan.
“Hakikatnya terdapat universiti- universiti Australia di Malaysia dan bagaimana mereka boleh membantu orang yang lebih susah untuk mendapat pendidikan Australia,” kata beliau. Antara universiti Australia yang terdapat di Malaysia ialah Monash University, Curtin University dan Swinburne University of Technology.
Ditanya sama ada beliau ada membangkitkan kemungkinan bekas anggota polis Sirul Azhar Umar diekstradisi ke Malaysia, Dr Mahathir berkata: “Tidak”.
Dr Mahathir sebelum ini pernah berkata bahawa hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Sirul Azhar mungkin dikurangkan bagi membolehkan Australia mengek- stradisi bekas anggota polis itu ke Malaysia.
Mengikut undang-undang Australia, seseorang itu tidak boleh diekstradisi sekiranya ada kemungkinan dia akan menjalani hukuman mati.
Sirul Azhar dan seorang lagi bekas pegawai polis, Azilah Hadri disabitkan dengan kesalahan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu di Malaysia dan dijatuhi hukuman mati pada 2009. — Bernama