BRUSSELS, BELGIUM: Menteri Industri Utama, Teresa Kok mengetuai Misi Ekonomi dan Promosi Sawit ke Switzerland, Sepanyol dan Belgium dari 28 September hingga 6 Oktober 2018.
Semasa di Brussels, delegasi Malaysia mengadakan mesyuarat dua hala dengan wakil-wakil Kesatuan Eropah (EU) termasuk Suruhanjaya Eropah dan Majlis Kesatuan Eropah yang merupakan institusi EU yang terlibat dalam pembuatan dasar dan perundangan EU.
Misi bertujuan memberi penerangan mengenai pembangunan mampan industri sawit negara serta menekankan usaha yang dilaksanakan Malaysia dalam memulihara alam sekitar termasuk hutan hujan tropika dan biodiversiti.
Skim Pensijlian Mnyak Sawit Mampan Malaaysia ( MSPO) yang dilaksanakan secara mandatori juga diberi fokus sebagai salah satu langkah industri sawit negara dalam mencapai pembangunan mampan.
Misi turut disertai Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia ( MPOB), Datuk Dr. Ahmad Kushairi Din, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Dr. Kalyana Sundram, Setiausaha Bahagian Kemajuan Industri Sawit dan Sagu, Kementerian Industri Utama (MPI), Dr. Sugumari Shanmugam dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) Dr. Sanath Kumaran.
D e l e g a s i M a l a y s i a mengadakan pertemuan dua hala dengan Karmenu Vella, Pesuruhjaya Alam Sekitar, Maritim dan Perikanan, Kesatuan Eropah.
Teresa mengambil peluang tersebut untuk menekankan pembangunan mampan industri sawit Malaysia yang mesra alam serta kepentingannya dalam pembangunan sosio-ekonomi negara.
Pendekatan yang diambil oleh industri sawit negara untuk meningkatkan produktiviti tanaman sawit tanpa perlu membuka kawasan baharu memandangkan kekangan tanah yang sesuai untuk tanaman sawit juga dibincangkan.
Semua penggiat industri sawit termasuk lebih 650,000 pekebun kecil sawit akan mematuhi piawaian kemampanan seperti yang digariskan dalam MSPO menjelang 31 Disember 2019 juga ditekankan berulang kali.
Karmenu mengakui kepentingan industri sawit dan menghargai komitmen Malaysia dalam pembangunan industri sawit yang mampan serta usaha mengekalkan sekurang- kurangnya 50% kawasan di bawah litupan hutan.
Pihak Suruhanjaya Eropah bersedia bekerjasama dan memberi sokongan kepada pengeluar minyak sawit dalam usaha mengurangkan penyahhutanan hutan hujan tropika.
Di samping itu, bidang baharu untuk kerjasama dua hala juga diterokai termasuk pemindahan teknologi terkini dalam pengurangan sisa dan pengitaran semula.
Teresa turut mengadakan mesyuarat dengan Ketua Pengarah, Alam Sekitar, Pendidikan, Pengangkutan dan Tenaga, Majlis Kesatuan Eropah, Dr. Pietras Jaroslaw.
Majlis Kesatuan Eropah terdiri daripada 28 negara anggota EU dan merupakan satu daripada tiga institusi penggubalan undang-undang di EU.
Institusi penggubalan undang-undang di EU adalah rumit memandangkan 28 negara anggota dalam Majlis Kesatuan Eropah mempunyai kepentingan masing-masing menyebabkan tiada hala tuju yang jelas.
Namun demikian, isu berkaitan perubahan iklim dan pemanasan global merupakan isu yang mendapat persetujuan sebulat suara negara anggota dan bio bahan api yang dikaitkan sebagai penyebab utama penyahhutanan adalah isu penting di EU.
Keputusan akhir rundingan tiga hala (trialogue) yang dicapai di antara Parlimen Eropah, Majlis Kesatuan Eropah dan Suruhanjaya Eropah pada bulan Jun 2018 telah berpihak kepada industri sawit dan membolehkan bio bahan api berasaskan sawit terus digunakan untuk pengiraan ke arah sasaran tenaga boleh diperbaharui sehingga 2030 seperti biobahan api berasaskan minyak sayuran yang lain. Kemasukan bio bahan api berasaskan minyak sawit ke EU tidak akan terjejas buat masa ini.
Dr. Pietras berkongsi kebimbangan Malaysia dan mencadangkan supaya Malaysia meneruskan usaha untuk menyebar fakta-fakta yang tepat dan maklumat terkini mengenai usaha negara dalam menangani isu penyahutanan serta memastikan kemampanan industri sawit bagi meningkatkan lagi keyakinan kepada para penggubal dasar di EU. Ini berikutan banyak kempen anti minyak sawit yang dilancarkan oleh organisasi bukan kerajaan ( NonGovernmental Organisations – NGOs) di rantau Eropah yang mengelirukan para pengguna. Di samping itu, Malaysia juga digesa menggunakan sepenuhnya platform yang ada untuk membangkitkan isu industri sawit. Pihak Majlis Kesatuan Eropah juga sedia mengadakan dialog membina dengan Malaysia dalam menghadapi cabaran ini.
Delegasi Malaysia juga mengadakan mesyuarat dua hala dengan European External Action Service ( EEAS) yang diketuai oleh Gunnar Wiegand, Pengarah Urusan Asia dan Pasifik. YB Menteri membangkitkan isu indirect land use change (ILUC) yang akan menyekat perdagangan minyak sawit sebagai bio bahan api secara berperingkat.
EEAS menekankan tiada keputusan untuk menyekat perdagangan bio bahan api berasaskan minyak sawit di EU tetapi ini bergantung kepada sejauh manakah penggunaannya boleh diambil kira untuk sasaran tenaga boleh diperbaharui EU.
Malaysia juga dimaklumkan bahawa satu jawatankuasa sedang ditubuhkan untuk merangka kriteria ILUC di bawah Renewable Energy Directive (RED) dan Malaysia turut dijemput mencalonkan pakar dalam bidang tersebut.
Secara keseluruhan, misi ini membuktikan kesungguhan Malaysia memastikan produk sawit dihasilkan secara mampan untuk pasaran global termasuk EU. Pembangunan mampan merupakan agenda penting Kerajaan Malaysia baharu dan merupakan usaha yang berterusan.