Peniaga di tepi Lebuh Raya Samarahan-Jambatan Batang Samarahan bimbang dengan larangan berniaga 1 Januari 2019
KOTA SAMARAHAN: Para penjaja di Lebuh Raya Samarahan-Jambatan Batang Samarahan menggesa Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) mempercepatkan cadangan membina gerai penjaja di kawasan tersebut.
Gesaan itu disuarakan penjaja ekoran pengumuman oleh Pengerusi MPKS Dato Peter Minos berhubung larangan sebarang aktiviti perniagaan termasuk penjaja yang tidak dibenarkan beroperasi di sepanjang Lebuh Raya Kuching-Samarahan bermula 1 Januari tahun hadapan.
Menurut seorang penjaja di situ, Yazid Yusop, 33, jika penjaja di situ tidak lagi dibenarkan berniaga di tepi jalan tersebut, ia akan menjejaskan sumber pendapatan mereka.
“Di mana lagi kami mahu berniaga kalau di sini (tepi jalan Lebuh Raya SamarahanJambatan Batang Samarahan) tidak boleh berniaga?
“Ini sahaja mata pencarian kami. Kalau tidak berniaga, di mana kami hendak dapatkan duit untuk menyara hidup?” katanya ketika ditemui di gerainya yang dibina di tepi jalan Lebuh Raya SamarahanJambatan Batang Samarahan di sini semalam.
Sehubungan itu, Yazid menggesa MPKS dan kerajaan negeri menyegerakan cadangan pembinaan gerai untuk penjaja di kawasan tersebut seperti mana yang dicadangkan.
“Jika mereka ( MPKS) hendak menguatkuasakan larangan ini, sediakan segera gerai untuk kami berniaga di lokasi strategik di kawasan ini (Lebuh Raya SamarahanJambatan Batang Samarahan),” tegasnya yang sudah berkecimpung dalam aktiviti perniagaan itu sejak 10 tahun lalu.
Sebelum ini, Yazid dan beberapa penjaja lain yang berniaga di tepi jalan lebuh raya berkenaan menjalankan aktiviti perniagaan di gerai milik MPKS di Pangkalan Feri Muara Tuang.
Ekoran penamatan perkhidmatan kemudahan feri itu selepas siapnya Jambatan Batang Samarahan, penurunan drastik pengunjung ke kawasan terbabit amat menjejaskan pendapatan penjaja
Ini sahaja mata pencarian kami. Kalau tidak berniaga, di mana kami hendak dapatkan duit untuk menyara hidup? Yazid Yusop Penjaja
di situ.
Disebabkan itu, penjaja di kawasan berkenaan mengambil langkah untuk berpindah dan menjalankan aktiviti perniagaan di tepi jalan Lebuh Raya Samarahan-Jambatan Batang Samarahan.
Selain penjaja di Pangkalan Feri Muara Tuang, penjaja di gerai Kampung Melayu turut mengalami masalah yang sama.
Menurut Siti Sara Sahari, 31, yang sebelum ini berniaga di gerai Kampung Melayu, beliau terpaksa berpindah dan berniaga di lokasi jalan Lebuh Raya SamarahanJambatan Batang Samarahan kerana laluan tersebut sibuk dan menjadi laluan utama penduduk di kawasan tersebut.
“Kalau kami tidak dibenarkan berniaga lagi di sini, di mana kami mahu mencari rezeki?” katanya sambil menambah pada Khamis lalu mereka didatangi kakitangan MPKS untuk mengambil nama setiap penjaja di kawasan tersebut bagi ditempatkan dan disediakan gerai baharu yang terletak tidak jauh dari Jambatan Batang Samarahan.
Justeru, beliau berharap cadangan pembinaan gerai baharu itu dapat disegerakan sebelum menjelang tahun baharu nanti kerana bimbang tidak dapat berniaga di kawasan tersebut sebaik sahaja larangan berkenaan dikuatkuasakan.