Kerajaan persekutuan bagaimanapun tidak harus nafi peruntukan kewangan sewajarnya kepada Sarawak: Abdullah
KUCHING: Kerajaan negeri menguruskan kewangan dan rizab secara cermat dan bijak yang boleh dibuktikan dengan memiliki rizab yang sihat.
Perkara itu ditegaskan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol yang menambah, walaupun demikian, kerajaan persekutuan tidak harus menafikan peruntukan kewangan sewajarnya kepada Sarawak sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan persekutuan.
“Kerajaan persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PH) boleh menggunakan pelbagai alasan tidak masuk akal untuk tidak menunaikan janji- janji mereka sewaktu pilihan raya.
“Tetapi rakyat Sarawak pasti lebih kecewa lagi jika kerajaan persekutuan terusmenerus tidak mempedulikan keperluan bagi jumlah peruntukan munasabah yang diperlukan dengan segera, terutamanya bagi tujuan memperbaiki sekolah usang dan menjalankan pembangunan luar bandar,” katanya, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen yang meminta kerajaan negeri menggunakan RM34 bilion rizab Sarawak untuk menaik taraf sekolah daif di negeri ini.
Malah, Abdullah menegaskan, Belanjawan Sarawak yang merupakan paling besar diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu tidak menyentuh rizab tersebut.
“Tidak seperti andaian yang dibuat oleh ramai orang yang curiga, pendapatan negeri yang diunjurkan untuk tahun depan adalah memadai bagi menampung semua pembangunan yang dicadangkan dan dirancang oleh kerajaan negeri GPS (Gabungan Parti Sarawak),” katanya.
Beliau memberitahu, pandangan Chong yang sempit dan pendek akal tentang penggunaan rizab kerajaan negeri harus menjadi peringatan kepada rakyat Sarawak bahawa wakil- wakil PH dari Sarawak terutamanya mereka dalam kabinet persekutuan adalah golongan yang tidak berani berbuat sesuatu apabila kepentingan Sarawak terjejas.
“Chong serta rakanrakannya dalam PH Sarawak seharusnya jangan membuang masa asyik mencari kesilapan kerajaan negeri yang jelas memperjuangkan kepentingan anak Sarawak, tetapi sepatutnya memberi tumpuan ke arah mempersoalkan kenapa kerajaan persekutuan yang ditadbir PH gagal memberi peruntukan sewajarnya kepada Sarawak,” ujarnya.
Dahulu Chong dan DAP Sarawak katanya, sentiasa melemparkan tuduhan liar bahawa parti- parti memerintah Sarawak terutama sekali PBB dianggap sentiasa di bawah telunjuk UMNO.
“Bukti yang jelas ialah kita dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya mempertahankan agar UMNO tidak masuk Sarawak dan berani untuk keluar daripada BN.
“Tapi sebaliknya, terbukti jelas PH Sarawak adalah di bawah telunjuk serta kurang dihormati oleh tuan- tuan besar mereka dalam PH di Semenanjung Malaysia,” ujarnya.
Malah, pemimpin tertinggi PH di Sarawak seperti Chong dan Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian mengakui mereka tidak dirujuk dalam merangka belanjawan negara, katanya lagi.
“Dan mereka jelas gagal kerana tidak dapat menghalang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) datang bertapak di Sarawak.
“Mungkin PH Sarawak buat- buat tidak tahu bahawa pemimpin-pemimpin tertinggi PPBM kebanyakan mereka adalah bekas pemimpin UMNO, terutama sekali sekarang ini yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun semasa dalam UMNO,” katanya.