Dua projek tebatan banjir di Miri, tender dijangka dibuka 15 Disember
MIRI: Tender dijangka dibuka pada 15 Disember depan untuk dua projek tebatan banjir yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan kelulusan peruntukan bernilai RM25 juta.
Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin berkata peruntukan yang diluluskan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bertujuan menangani masalah banjir sering melanda penduduk di kawasan Eco Park dan Taman Tunku.
“Selepas diberi taklimat mengenai isu banjir di Eco Park dan Taman Tunku, Abang Johari meluluskan peruntukan bagi melaksanakan projek tebatan masingmasing RM15 juta untuk Eco Park, manakala RM10 juta bagi Taman Tunku.
“Dengan adanya peruntukan tersebut, projek itu perlu dipercepatkan dan dilaksanakan segera dalam usaha mengatasi banjir yang sering menjejaskan penduduk kawasan itu,” katanya.
Lee berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan sesi taklimat Projek Tebatan Banjir Eco Park dan Taman Tunku di bilik mesyuarat Majlis Bandaraya Miri (MBM) di sini semalam.
Hadir sama Datuk Bandar MBM Adam Yii, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak Chok Moi Soon, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur MBM Kaunselor Abdullah Jaini, Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Bangunan MBM Kaunselor Peter Chia.
Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Senadin itu menjelaskan perunding projek diberi tempoh dua minggu bagi menyediakan reka bentuk dan maklumat terperinci mengenai projek tersebut.
Menurut Lee, projek di Eco Park melibatkan pembinaan parit banjir dengan lebar antara 4.5 meter dan enam meter sepanjang dua kilometer.
“Pembinaan projek di Eco Park dijangka tidak mudah kerana melibatkan perkhidmatan utiliti awam serta pengambilan tanah sepanjang kawasan tersebut,” ujarnya.
Bagi pelaksanaan projek di Taman Tunku, ia melibatkan kerja- kerja mendalam, meluas serta mengukuhkan Sungai Dalam serta meningkatkan dua kolam penahan di kawasan tersebut.
Kedua-dua projek terbabit dijangka akan siap dalam tempoh 15 bulan.