ANGGOTA PENGUAT KUASA RUGI RM112,000 DIPERDAYA ‘ MACAU SCAM’
KUCHING: Gara-gara telefon pintar berharga sekitar RM4,500, seorang anggota penguat kuasa mengalami kerugian mencecah RM112,000 selepas diperdaya sindiket ‘Macau Scam’ di sini, baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Ghani berkata, lelaki berusia 51 tahun itu pada 10 November lalu dihubungi oleh seorang lelaki mendakwa mangsa ada memohon kad kredit dan ia telah digunakan untuk membeli telefon pintar di Terengganu.
Mangsa bagaimanapun menyangkal perkara tersebut dan taliannya disambung kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu untuk membuat laporan berhubung kejadian.
“Bagaimanapun semasa bercakap dengan seseorang yang kononnya pegawai penyiasat kes tersebut, dia telah diberitahu bahawa dia terlibat dengan aktiviti ‘cuci’ wang haram dan menjual dadah serta perlu untuk ke IPK Terengganu untuk menyelesaikan perkara tersebut.
“Mangsa yang ketakutan serta enggan imejnya tercalar kemudian meminta pegawai penyiasat terbabit untuk membantunya menyelesaikan kes tersebut sebelum dia diarahkan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank,” katanya.
Pada 12 November, mangsa telah memasukkan RM24,000 ke dalam satu akaun bank dan kemudian tambahan RM4,000 lagi ke akaun bank yang sama.
“Mangsa pada hari yang sama kemudian memasukkan lagi RM60,000 ke akaun bank yang sama dan RM28,000 lagi ke dalam akaun berlainan dan diberitahu oleh pegawai penyiasat terbabit bahawa kes mangsa telah selesai,” katanya.
Difahamkan, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu pada Khamis lepas dan terus membuat laporan berhubung kejadian di balai polis berhampiran.
Mustafa turut meminta supaya masyarakat sentiasa berhati-hati sekiranya menerima panggilan yang mungkin daripada ahli sindiket penipuan ‘Macau Scam.’
“Jika seseorang yang menghubungi mendakwa diri anggota polis, sila dapatkan pengesahan daripada mana-mana balai polis berhampiran dan jika ada yang menghubungi mendakwa daripada pihak bank, maka sila berhubung terus dengan bank-bank yang dimaksudkan.
“Jarang ada urusan penting hanya dijalankan melalui panggilan telefon,” jelas Mustafa.