Utusan Borneo (Sarawak)

Dewan Rakyat keluar surat peringatan terakhir angkat sumpah Yamani Hafez

-

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat akan mengeluark­an surat peringatan terakhir kepada Yamani Hafez Musa dalam masa terdekat agar Ahli Parlimen Sipitang itu segera hadir bagi mengangkat sumpah jawatan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata, Yamani Hafez perlu segera berbuat demikian sebelum hilang kelayakan.

“Beberapa surat peringatan mengangkat sumpah telah dihantar sebelum ini namun tiada maklum balas daripada ahli Parlimen itu. Kita telah tulis surat kepada beliau ( Yamani Hafez) dan beri tarikh yang sesuai bukan sahaja untuk dia tetapi parlimen juga. Terpulang kepada Sipitang.

“Yang terbaharu setakat ini beliau tidak jawab lagi. Kita sudah hantar beberapa surat peringatan dan akan keluarkan surat peringatan terakhir tidak beberapa lama lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Parlimen, semalam.

Mohamad Ariff berkata Yamani Hafez ada meminta untuk men- gangkat sumpah menerusi persidanga­n video namun ditolak kerana tiada peruntukan sedemikian dalam peraturan Dewan Rakyat.

Berdasarka­n pengiraan enam bulan bermula hari pertama mesyuarat pertama Dewan Rakyat, Yamani Hafez perlu mengangkat sumpah jawatan sebelum pertengaha­n Januari depan.

Menurut Perkara 59 Perlembaga­an Persekutua­n, seseorang ahli Parlimen yang dipilih perlu mengangkat sumpah jawatan dalam tempoh enam bulan dari tarikh Dewan Rakyat bersidang buat kali pertama.

Hari pertama persidanga­n bagi Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 ialah pada 16 Julai lalu yang menyaksika­n 220 daripada 222 ahli Parlimen mengangkat sumpah jawatan.

Yamani Hafez, 39, yang juga anak bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, gagal berbuat demikian sehingga kini, malah dilaporkan keberadaan­nya juga tidak diketahui. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia