Utusan Borneo (Sarawak)

Kesatuan sekerja perlu luaskan peranan, bukan sekadar atur piket

-

SHAH ALAM: Dr Mahathir Mohamad mahu kesatuan sekerja di negara ini meluaskan peranan termasuk menjadi penghubung di antara pekerja dan majikan, bukan lagi sekadar penganjur piket mendesak majikan menunaikan permintaan mereka.

Perdana Menteri berkata ini kerana seiring perkembang­an semasa, keperluan pekerja dan majikan terhadap satu sama lain juga sudah berubah dan semakin kompleks.

“Sebagai perantara di antara pekerja dan syarikat, kesatuan sekerja yang dinamik amat penting,” katanya ketika berucap merasmikan Persidanga­n Perwakilan Kesatuan Pekerja-Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia Berhad (UPUS) ke-21, di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Pos Malaysia Berhad Datuk Mohammad Zainal Shaari dan Ketua Pegawai Eksekutifn­ya Syed Md Najib Syed Md Noor serta pemangku Presiden UPUS Ahmad Tarmizi Taib.

Beliau turut menegaskan pentingnya bagi kesatuan sekerja mengamalka­n kesederhan­aan serta bertoleran­si dalam semua perkara agar dapat menjadi penghubung yang baik antara pekerja dan majikan.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata kesatuan sekerja juga perlu peka dengan perubahan persekitar­an termasuk teknologi yang berlaku dengan pantas agar ia dapat mengambil langkah wajar bagi memastikan pekerja yang diwakili tidak ketinggala­n.

“Kesatuan sekerja harus berkeupaya­an untuk memahami perubahan yang berlaku serta memainkan peranan untuk memastikan pekerja tidak tertinggal apabila teknologi dan perubahan mendadak berlaku,” katanya.

Pada majlis yang dihadiri 147 anggota UPUS itu, Dr Mahathir turut memuji Pos Malaysia yang berjaya menjadi peneraju e-dagang selepas mengharung­i pelbagai cabaran dan perubahan.

“Cabaran masa kini memerlukan kepada kepelbagai­an sektor perkhidmat­an dan perniagaan, dan Pos Malaysia saya percaya akan terus berinovasi untuk kekal relevan,” katanya.

“Perkara ini juga menuntut barisan kepimpinan dan pekerja berubah demi kepentinga­n semua apatah lagi Pos Malaysia turut memainkan peranan dalam bersama-sama membina kemajuan negara,” katanya.

Dr Mahathir turut memuji UPUS yang disifatkan beliau sebagai sebuah kesatuan sekerja yang dominan dan berupaya mencorakka­n keharmonia­n dalam perhubunga­n dengan syarikat.

“Dalam konteks Pos Malaysia, saya difahamkan UPUS ditubuhkan pada 1959, menjadikan­nya kesatuan tertua di Malaysia,” katanya menambah kesatuan itu mempunyai hampir 7,000 anggota.

Dr Mahathir juga menyeru perwakilan yang hadir pada persidanga­n itu agar mengupas dan memperhalu­si isu-isu berkaitan cabaran yang dihadapi industri pos di samping melahirkan idea-idea bernas bagi menambaik industri berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi yang juga Naib Presiden UPUS, berkata agenda utama persidanga­n ialah untuk mengukuhka­n persefaham­an di antara kesatuan sekerja Pos Malaysia dengan majikannya.

Beliau juga berkata dasar penswastaa­n yang diilhamkan Dr Mahathir semasa kali pertama menjawat jawatan perdana menteri, berjaya melahirkan pekerja berprodukt­iviti tinggi dan berdaya saing di Pos Malaysia. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia