Utusan Borneo (Sarawak)

Warga emas ditemui lemah selepas tersepit dalam bilik air tiga hari

-

JOHOR BAHRU: Seorang warga emas ditemui lemah di dalam bilik mandi rumahnya di Taman Perdana Sungai Siput dekat Segamat, semalam, akibat tangan kirinya tersepit di lubang saluran air bilik mandi itu sejak tiga hari lepas.

Siti Jauriah A. Ghani, 70, ditemui terbaring oleh anak lelakinya Yazid Harun, 50, kira-kira jam 8.30 pagi semalam sebelum menghubung­i bomba.

Yazid yang dihubungi Bernama berkata dia mengesyaki sesuatu tidak diingini berlaku terhadap ibunya selepas wanita tersebut gagal dihubungi sejak tiga hari lepas.

Beliau berkata selepas kematian bapanya, Harun Kasah lebih 10 tahun lepas, ibunya memang suka tinggal bersendiri­an.

“Kami adik-beradik ada mengajak emak tinggal bersama tetapi dia selesa begitu. Saya rasa tidak sedap hati apabila emak tidak menjawab panggilan telefon sejak tiga hari lepas... adik- beradik lain juga menghubung­inya (telefon) tetapi langsung tidak ada maklum balas.

“Jadi, saya buat keputusan pergi ke rumah emak dan tiba di rumah saya dapati pintu pagar depan semua berkunci, jadi saya masuk menerusi pagar belakang yang kebetulan memang tidak bertutup sebelum menemui emak terbaring dalam bilik air dengan tangan kiri sepenuhnya tersepit dalam lubang saluran air,” katanya yang tinggal di Kampung Paya Pulai, Segamat, kira-kira lima kilometer dari rumah ibunya.

Yazid berkata dia tidak berfikir panjang lalu terus menghubung­i pihak ambulans dan meminta bantuan bomba selepas usaha mengeluark­an sendiri tangan ibunya gagal.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat, Wahim Abdul Rahman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.23 pagi semalam dan berjaya mengeluark­an tangan Siti Jauriah 10 minit kemudian.

Operasi membabitka­n tujuh anggota bomba itu katanya bertindak memecahkan lantai sekitar bahagian lubang air tersebut untuk mengeluark­an tangan mangsa.

“Mangsa yang mengalami sedikit kecederaan dan lemah kemudian dibawa ke Hospital Segamat untuk tindakan seterusnya,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia