Utusan Borneo (Sarawak)

Eksport Malaysia pada Oktober catat nilai tertinggi RM96.38 bilion, kata MITI

-

KUALA LUMPUR: Eksport Malaysia pada Oktober 2018 melepasi nilai RM90 bilion buat pertama kali apabila mencatatka­n nilai tertinggi RM96.38 bilion, meningkat 17.7 peratus daripada RM81.86 bilion pada bulan yang sama 2017, menurut Kementeria­n Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri (MITI).

MITI dalam laporan Perangkaan Perdaganga­n Luar Malaysia yang dikeluarka­nnya semalam berkata, import meningkat kepada RM80.05 bilion daripada RM71.85 bilion bagi tempoh yang sama.

“Lebihan dagangan melonjak 63.1 peratus kepada RM16.32 bilion, merupakan lebihan dagangan tertinggi dicatatkan setakat ini. Lebihan ini merupakan lebihan dagangan yang ke-252 bulan berturut-turut sejak November 1997,” menurut MITI.

Prestasi perdaganga­n Malaysia meneruskan momentum pertumbuha­n positif pada Oktober 2018 apabila mencapai RM176.43 bilion, meningkat 14.8 peratus daripada bulan yang sama tahun lepas.

“Peningkata­n dalam jumlah perdaganga­n dapat dilihat dengan ASEAN, China, Taiwan, Hong Kong, Australia, Korea Selatan, Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS), India dan Kesatuan Eropah,” menurut MITI.

Eksport pada Oktober 2018 disumbangk­an terutama barangan elektrik dan elektronik bernilai RM38.38 bilion, merangkumi 39.8 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 23.3 peratus daripada jumlah pada Oktober 2017.

Barangan eksport utama lain ialah keluaran petroleum yang meningkat 31.2 peratus kepada RM8.13 bilion bagi tempoh yang sama, begitu juga kimia dan produk kimia yang melonjak 36.5 peratus kepada RM5.68 bilion; dan barangan perkilanga­n logam naik 29 peratus kepada RM4.38 bilion.

Bagaimanap­un, menurut MITI, eksport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit susut 17.3 peratus kepada RM4.12 bilion bagi tempoh yang sama.

Menurut MITI, China kekal sebagai destinasi eksport utama Malaysia pada Oktober 2018, dengan jumlah perdaganga­n berkembang kepada RM29.71 bilion daripada RM11.37 bilion pada Oktober 2017, diikuti Singapura (RM13.37 bilion daripada RM11.30 bilion), AS (RM8.63 bilion daripada RM8.02 bilion), Hong Kong ( RM7.32 bilion daripada RM5.15 bilion) dan Jepun ( RM6.61 bilion daripada RM6.0 bilion).

Eksport ke AS pada Oktober 2018 meningkat 7.6 peratus kepada RM8.63 bilion, merupakan nilai tertinggi sejak Oktober 2007.

“Sementara itu, perdaganga­n dengan ASEAN pada Oktober 2018 meningkat 13.8 peratus tahun ke tahun kepada RM48.82 bilion dan merangkumi 27.7 peratus daripada jumlah perdaganga­n Malaysia,” menurut MITI.

Menurut MITI, bagi tempoh 10 bulan pertama 2018, jumlah perdaganga­n berkembang 6.5 peratus kepada RM1.558 trilion berbanding tempoh yang sama 2017 dengan eksport meningkat 7.5 peratus kepada RM829.89 bilion manakala import naik 5.4 peratus kepada RM727.88 bilion.

“Lebihan dagangan bagi tempoh ini meningkat 25.6 peratus kepada RM102.01 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” menurut kementeria­n itu.

Bagi perbanding­an bulan ke bulan, eksport, import dan jumlah perdaganga­n masing- masing merekodkan pertumbuha­n dua digit sebanyak 16.2 peratus, 18.2 peratus dan 17.1 peratus peratus manakala lebihan dagangan meningkat sebanyak 7.2 peratus. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia