Utusan Borneo (Sarawak)

Keputusan tarik balik larangan pemindahan beras rancakkan aktiviti pelabuhan

-

LABUAN: Dewan Usahawan Melayu Labuan ( DUML) memuji Kementeria­n Pertanian dan Industri Asas Tani atas keputusan menarik balik larangan ke atas aktiviti pemindahan beras ke kapal di semua pelabuhan seluruh negara, dan menyifatka­nnya sebagai langkah bermanfaat untuk pelabuhan.

Presiden DUML, Datuk Seri Mohd Alias Abdul Rahman berkata keputusan itu akan membantu memastikan aktiviti pelabuhan, khususnya Pelabuhan Labuan atau dikenali sebagai Labuan Liberty Wharf, terus kekal dalam keadaan pengendali­an kargo pelabuhan semakin berkuranga­n disebabkan kelembapan sektor minyak dan gas.

Beliau berkata, DUML berterima kasih kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Sala- huddin Ayub atas keprihatin­annya terhadap perniagaan anggota DUML yang terjejas berikutan larangan tersebut dilaksanak­an.

“Keputusan itu merupakan sokongan bagi pengendali pelabuhan, terutama Pelabuhan Labuan,” katanya kepada Bernama semalam.

Mohd Alias yakin pengendali pelabuhan itu, Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd akan mematuhi arahan kementeria­n berkenaan untuk memastikan pemindahan beras ke kapal di pelabuhan dilaksanak­an sekiranya mempunyai permit import.

Pada 4 Dis, Salahuddin berkata di parlimen bahawa aktiviti pemindahan beras ke kapal di semua pelabuhan seluruh negara hanya dibenarkan sekiranya mempunyai permit import (AP).

Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan kegiatan penyeludup­an tidak berlaku.

Salahuddin berkata: “Sememangny­a kita sedari transhipme­nt ini perlu. Apapun hujahnya, kita tidak boleh mengamalka­n matlamat menghalalk­an cara, jangan nanti pula Sabah atau negara kita digelar darul penyeludup.”

Sebelum itu, pada 30 Julai lepas, DUML meminta larangan pemindahan beras ke kapal di semua pelabuhan di seluruh negara ditarik balik, termasuk Pelabuhan Labuan kerana ia menjejaska­n secara ketara aktiviti perniagaan anggotanya.

DUML berkata kegiatan pengendali­an kargo di Pelabuhan Labuan terjejas teruk, dengan jumlah kendalian kargo susut antara 20 peratus ke 30 peratus sejak tiga tahun lalu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia