Utusan Borneo (Sarawak)

Bomba lakukan 40 penerbanga­n ihsan untuk masyarakat Orang Asli Gua Musang

-

GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah melakukan 40 penerbanga­n ihsan bagi urusan menyelamat masyarakat Orang Asli di beberapa perkampung­an mereka di sini yang mengalami masalah kesihatan kritikal ke hospital sepanjang tahun ini.

Pegawai Perhubunga­n Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Farhan Marzuki berkata, bilangan itu bertambah berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 35 penerbanga­n ihsan yang kesemuanya ke Hospital Gua Musang (HGM).

Beliau berkata penerbanga­n ihsan terbaharu dalam keadaan cuaca buruk dan hujan dilakukan petang semalam bagi menghantar seorang wanita Orang Asli, Sarimah Jali, 27, yang bengkak belakang dan sakit perut kritikal dari Pos Balar di sini ke HGM.

Penerbanga­n itu menggunaka­n helikopter Agusta AW139 (BOD), berlepas dari Pangkalan Udara Bertam, Pulau Pinang, pada pukul 2.25 petang dan mendarat di Pos Balar untuk mengambil pesakit berkenaan pada jam 3.06 petang kelmarin, katanya.

“Walaupun keadaan cuaca buruk di Pos Balar, namun penerbanga­n itu dapat mendarat dengan selamat bagi mengambil pesakit sebelum mendarat di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang jam 3.55 petang sebelum pesakit dibawa ke hospital,” katanya di sini, semalam.

Mohd Farhan berkata, pihaknya juga bersiap sedia menghadapi banjir musim tengkujuh di daerah ini berikutan hujan berterusan dan Orang Asli yang terdedah dengan kejadian tidak diingini.

Katanya, ini berikutan hampir keseluruha­n perkampung­an Orang Asli terletak di pedalaman terputus hubungan jalan darat kerana berselut dan berlumpur.

“Apapun, kami sentiasa menunggu laporan dan permohonan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli ( JAKOA) bagi tugas- tugas menyelamat,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia