Utusan Borneo (Sarawak)

Permintaan bagi kargo udara naik 3.1 peratus pada Okt

-

KUALA LUMPUR: Permintaan bagi pasaran kargo udara global, yang diukur dalam kilometer tan kargo (FTK), meningkat 3.1 peratus pada Oktober berbanding tempoh sama tahun lepas, muncul daripada paras terendah dalam tempoh 29 bulan sebanyak 2.5 peratus pada September.

Persatuan Pengangkut­an Udara Antarabang­sa (IATA) berkata kapasiti kargo, yang diukur dalam tan metrik kilometer tersedia (AFTK), naik 5.4 peratus, tahun ke tahun, pada Oktober.

“Ini merupakan bulan kelapan berturut-turut pertumbuha­n kapasiti mengatasi permintaan dan didorong oleh e-dagang antarabang­sa yang meningkat dan peningkata­n dalam kitaran pelaburan global,” menurut IATA dalam kenyataan.

Bagaimanap­un, katanya permintaan terus terjejas oleh penyusutan dalam nilai perolehan kontrak eksport semua negara pengekspor­t utama pada Oktober, tempoh penghantar­an pembekal yang lebih panjang di Asia dan Eropah, selain keyakinan pengguna yang rendah.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA Alexandre de Juniac berkata persatuan syarikat penerbanga­n global itu optimis dengan berhati-hati terhadap prospek industri.

“Pertumbuha­n yang perlahan, tetapi stabil walaupun terdapat ketegangan perdaganga­n.

“Kita perlu peka mengenai halangan ekonomi, bagaimanap­un industri dilihat bersedia membawa tahun ini kepada positif,” katanya.

Di rantau Asia Pasifik, katanya permintaan terhadap kargo udara meningkat 1.9 peratus, tahun ke tahun.

IATA berkata rantau itu mencatatka­n pertumbuha­n yang mendatar berbanding bulan sebelumnya disebabkan keadaan pembuatan yang lemah bagi pengekspor­t.

Tempoh penghantar­an pembekal yang lebih panjang terutamany­a di China dan Korea turut memberi kesan kepada permintaan.

“Asia Pasifik merupakan rantau terbesar bagi penerbanga­n kargo, membawa lebih satu pertiga daripada jumlah keseluruha­n, bagaimanap­un risiko daripada ketegangan perdaganga­n tidak setinggi seperti yang dijangka,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia