KESTABILAN POLITIK PENTING

Sarawak juga perlu konsisten dari segi politik agar capai objektif perjuang hak: KM

Utusan Borneo (Sarawak) - - Front Page - Oleh Jessica Jawing

KUCHING: Sarawak perlu konsisten dan stabil dalam politik agar dapat mencapai objektifnya dalam memperjuangkan hak rakyat negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak tidak akan emosi dalam politik dan tidak mahu sekadar menerima arahan daripada mana-mana rakan sekutu.

“Kita boleh ‘berenang’ dengan sendiri dan kita mampu mentransformasikan Sarawak kepada negeri maju kerana kita mempunyai bakat tersendiri.

“Namun, kita perlu konsisten serta stabil dari segi politik supaya kita dapat bersama mencapai matlamat termasuk melindungi serta memperjuangkan hak rakyat kita,” ujarnya ketika merasmikan Persidangan Delegasi Luar Biasa (EDC) Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang dihadiri Presidennya Dato Sri Wong Soon Koh di sini, semalam.

Pada EDC tersebut, para delegasi sebulat suara bersetuju menukar nama parti kepada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan logo baharu.

Abang Johari berkata, Sarawak telah banyak belajar selama 55 tahun di bawah satu payung yang sama dengan rakan sekutu dari Semenanjung Malaysia di mana Sarawak perlu membuat keputusan berdasarkan konsensus.

Katanya, disebabkan perkara sedemikian, Sarawak kehilangan hak dan kuasa dalam sumber minyaknya.

“Sehubungan itu, apabila Barisan Nasional (BN) kalah pada pilihan raya umum lepas, saya dan rakan-rakan dalam kabinet membuat keputusan untuk keluar kerana kami menyedari kita mampu berdiri sendiri.

“Kita telah belajar sepanjang proses (politik) berkenaan dan sudah tiba masanya untuk kita meninggalkan BN.

“Namun, kita berharap rakyat Sarawak bersatu secara politik agar kita dapat mencapai matlamat memperjuangkan dan melindungi hak kita rakyat Sarawak,” tegasnya.

Beliau memberi contoh, antara pencapaian Sarawak ialah mendapatkan pemilikan Empangan Hidroelektrik Bakun daripada kerajaan persekutuan yang dianggap amat penting demi manfaat rakyatnya dari segi jana kuasa.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut, Abang Johari berkata, kerajaan negeri akan membina sebuah lagi turbin tambahan di empangan Bakun yang mampu menjana 300 megawatt kuasa elektrik.

“Kita akan memasang satu lagi turbin tambahan di Bakun yang mampu menjana 300 megawatt kuasa elektrik.

“Buat masa ini, kita mempunyai empat turbin di Bakun dan dengan tambahan ini, ia menjadikan lima turbin di empangan Bakun,” katanya.

Menurut Abang Johari, buat masa ini beliau belum pasti mengenai kos pembinaan berkenaan, namun menganggapnya penting dalam usaha kerajaan negeri meningkatkan jana kuasa kepada rakyat Sarawak.

Dengan kemudahan yang disediakan itu, beliau berharap ia akan dapat mengembangkan lagi pertumbuhan ekonomi rakyat di bandar dan luar bandar, merangkumi semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan umur.

RASMI: Abang Johari memukul gong sebagai simbolik perasmian EDC UPP disaksikan Wong (tiga kanan), Timbalan Presiden Datuk Dr Jerip Susil (kanan), Setiausaha Agung George Lo (dua kanan), Ketua Pemuda Dr Johnical Rayong Ngipa (empat kanan) serta yang lain di Kuching, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.