TIGA DIDAPATI POSITIF DADAH DALAM OPERASI JPJ DI JALAN MIRI-BINTULU

Utusan Borneo (Sarawak) - - Front Page -

MIRI: Tiga pengguna jalan raya didapati positif dadah dalam satu sekatan jalan raya di Kilometer 87 Jalan Miri-Bintulu dekat sini, petang kelmarin.

Ketua Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Miri Misnan Tamimi berkata, ketiga-tiga pengguna jalan raya terbabit ditahan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan selanjutnya.

“Seramai 36 orang diuji air kencing, tiga daripada mereka didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan syabu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Operasi bersepadu tersebut dijalankan sepasukan 10 pegawai dan anggota JPJ, 15 pegawai dan anggota AADK Cawangan Miri dan enam anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bermula jam 1 hingga 6 petang.

Misnan berkata, dalam operasi berkenaan, sebanyak 62 kenderaan diperiksa terdiri daripada 17 lori, 31 motokar dan 14 motosikal.

“Sebanyak 10 notis terdiri daripada Notis Saman P22 dan Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu notis arah periksa kenderaan telah dikeluarkan.

“Jika mengikut komposisi kes, dua daripadanya dikenakan kompaun kerana membawa muatan secara berbahaya, dua berkenaan teknikal iaitu lampu brek tidak berfungsi, tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) (2), tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM) (2) dan lain-lain kesalahan (2),” jelasnya.

Misnan turut berterima kasih kepada pihak AADK terutamanya Ketua Cawangan AADK Miri Mazlan Jikran dan RELA yang bekerjasama menjayakan operasi bersepadu kali ketiga itu.

“Orang ramai diingatkan agar berhati-hati ketika memandu di jalan raya, pastikan sentiasa memakai tali pinggang keledar.

“Bagi pengguna motosikal, sila guna topi keledar dan pasangkan dengan betul ketika menunggang.

“Memandu dengan laju adalah berbahaya, sentiasa prihatin dengan pengguna jalan raya yang lain.

“Jangan memandu di bawah pengaruh dadah dan tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu,” kata beliau.

PERIKSA: Setiap kenderaan yang melalui jalan tersebut diperiksa oleh pihak JPJ dan AADK.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.