Rebut diskaun saman pada majlis Ops Selamat di Sibu pada 18 Dis
SIBU: Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Sarawak dan IPD Sibu akan mengadakan Majlis Pelancaran Ops Selamat sempena perayaan Hari Krismas 2018 di Pintu Gerbang Sibu pada 18 Disember ini.
Pada majlis itu, orang ramai boleh berkunjung ke Kaunter Semakan dan Pembayaran Saman untuk mendapatkan pengurangan saman sehingga 50 peratus mulai 9 pagi hingga 4 petang.
Bagaimanapun, tawaran diskaun 50 peratus tidak termasuk jenis saman seperti saman berstatus NC, kes bicara di mahkamah, waran tangkap tahun semasa, saman kemalangan, kesalahan trafik dalam tempoh Ops Selamat 2018, kesalahan melibatkan kenderaan perdagangan berat yang dikompaun maksimum, guna alat komunikasi, jalan semasa lampu isyarat merah, potong di garisan berkembar, dan memandu di lorong kecemasan.
Diskaun bagi bayaran saman sehingga 50 peratus mengikut terma dan syarat meliputi saman trafik dari seluruh Malaysia.
Orang ramai yang ingin membuat pembayaran juga digalakkan membuat semakan awal terlebih dahulu di mana-mana balai polis trafik berhampiran tentang butiran saman yang boleh mendapat diskaun seperti yang termaktub.