Lelaki warga asing ditahan, kes pecah masuk selesai

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

BINTULU: Penahanan seorang lelaki warga asing berusia 20-an berjaya menyelesaikan dua kes curi termasuk pecah masuk sekolah yang dilaporkan berlaku di sini bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili mengesahkan suspek ditangkap oleh sepasukan polis pada 3 Disember lalu dalam sebuah semak di Kampung Baru di sini sekitar jam 7.40 malam.

“Hasil soal siasat ke atas suspek menjurus penemuan pelbagai barangan dipercayai barangan curi di kediaman tidak bernombor di Kampung Baru dan Kampung Sinong di sini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini petang semalam.

Katanya, pada 4 Disember lalu sekitar jam 11pagi, hasil soal siasat ke atas suspek turut menemui pelbagai barangan lain yang disembunyikan di tempat sama.

Menurutnya, difahamkan beberapa barangan curi itu turut ditemui di premis niaga di sini dipercayai dijual suspek kepada pemilik premis terbabit.

“Suspek dikenakan tahanan reman sehingga 18 Disember ini dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda dan sebatan,” katanya.

Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen diri dan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

DITEMUI SEMULA: Antara barangan curi yang dirampas daripada suspek.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.