Pindaan Perkara 1(2) tidak cukup untuk kembalikan status terhakis

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

KUCHING: Pindaan ke atas Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan tidak akan membantu Sarawak mengembalikan statusnya yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Penasihat Undang- Undang Sarawak Dato Sri J. C Fong berkata, cadangan pindaan ini asalnya adalah untuk memulihkan status Sarawak dan Sabah sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia.

Persoalannya menurut Fong, adakah Sarawak akan mendapat status setara dalam Persekutuan Malaysia bersama Sabah jika Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dipinda?

“Apabila kita dibawa masuk membentuk Malaysia, Malaya berjanji untuk membangunkan Sarawak setara dengan pembangunan di Malaya.

“Tetapi banyak janji yang mereka tidak penuhi. Mereka kata akan memberikan geran khas, duti import kepada kita yang akan disemak setiap lima tahun.

“Tetapi sehingga sekarang, tidak ada semakan semula kewangan ke atas semua geran-geran yang dijanjikan kepada kita oleh kerajaan persekutuan selepas semakan terakhir pada 1969,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ceramahnya bertajuk ‘ Status Setara atau Rakan Kongsi bagi Sarawak dan Sabah dalam Persekutuan Malaysia’ pada Forum Hak- Hak Sarawak di bawah MA63, malam kelmarin.

Forum tersebut berlangsung di Auditorium Pusat Penerangan Islam (IIC) dan merupakan anjuran Persatuan Patriots Sarawak yang dipengerusikan Datuk John Lau.

Tambah Fong, kerajaan persekutuan tidak pernah membayar sejumlah wang yang mereka janjikan kepada Sarawak sebagai contoh, duti import tahunan ke atas produk petroleum bernilai lebih RM300 juta bagi tahun berakhir 2000.

Oleh kerana Malaysia bersetuju dengan Perjanjian Perdagangan Bebas katanya, maka duti tersebut telah dimansuhkan dan kerajaan persekutuan enggan membayar RM300 juta yang patut dibayar kepada Sarawak.

“Selepas desakan daripada Sarawak dan banyak kali perbincangan, kerajaan persekutuan bersetuju membayar RM150 juta dengan syarat tertentu yang diletakkan oleh Sarawak.

“Begitu juga dengan duti eksport ke atas kayu. Kerajaan persekutuan kata Sarawak mengutip royalti jadi mereka mengeluarkan arahan pengecualian ke atas semua eksport kayu,” katanya.

Isu besar timbul mengenai duti eksport mineral dan minyak di mana perlembagaan mengatakan bahawa pendapatan tersebut adalah milik Sarawak tetapi jika Sarawak mengenakan 10 peratus royalti, Sarawak tidak akan menikmati duti tersebut.

“Sebab itu kita hanya menikmati 5 peratus royalti minyak dan gas dan jika kerajaan persekutuan terus menafikan pendapatan yang selayaknya untuk kita bagaimana kita dapat mencapai status setara,” kata Fong.

Jadi menurut Fong, adakah rakyat Sarawak akan terus membiarkan kerajaan persekutuan menggagalkan Sarawak termasuk dari sudut pendidikan dan kesihatan.

“Saya harap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong mendengar ini dan tidak hanya memberi kita kosmetik untuk menutup cela yang dibuat oleh mereka,” katanya.

Turut diundang sebagai penceramah pada forum tersebut ialah Presiden Kesatuan Institut Penyelidikan Budaya Sarawak Datuk David Teng yang menyentuh mengenai MA63, Kedudukan Istimewa dan Kedaulatan Istimewa Bagi Sarawak.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian juga hadir pada awal forum bagi menyampaikan ucapan ringkas berhubung forum tersebut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.