62 kanak-kanak dirai pada majlis amal di Victoria Plaza Miri Times Square

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

MIRI: Dalam menghidupkan suasana sambutan Hari Krismas yang menjelang tiba, seramai kira-kira 62 kanak-kanak bertuah dari tiga rumah amal sekitar bandar raya ini diraikan dalam satu acara amal di Victoria Plaza Miri Times Square di sini, malam kelmarin.

Pelbagai aktiviti menarik disajikan kepada kanak-kanak yang datangnya dari Miri Methodist Children’s Home, Miri Red Crescent Society (MRCS) Sunflower Centre dan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Miri.

Pada majlis sama, hadirin berpeluang menyaksikan acara menyalakan lampu pokok Krismas tertinggi di Miri yang disempurnakan oleh Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang.

ParkCity dan Samling yang merupakan pemaju bagi Marina Parkcity turut memberi sumbangan berjumlah RM26,010 kepada tiga rumah amal tersebut.

Sementara itu, Adam dalam ucapannya kagum dengan konsep baharu pusat komersial yang dibawakan oleh ParkCity di Miri.

“Dari laluan mesra pejalan kaki ke halaman terbuka, pusat komersial ini merupakan sesuatu yang baharu kepada Miri. Saya percaya Miri Times Square tidak lama lagi akan membawa keindahan pada landskap tempatan.

“Pintu gerbang Miri Times Square ini juga menjadi satu mercu tanda tambahan yang melambangkan titik masuk dari jalan pertama dan tertua di Miri iaitu Jalan High Street ke pusat komersial serba moden ini,” katanya.

Ujar beliau, kawasan pusat komersial ini yang berdekatan dengan Central Park pasti akan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat Miri.

“Di kesempatan ini, saya ingin memuji pemaju atas komitmen dan inisiatifnya untuk mengekalkan keindahan Central Park sehingga ke hari ini.

“Saya menyedari Central Park kini menjadi tempat yang popu- lar bagi penduduk tempatan untuk berkumpul dan melakukan aktiviti sihat. Ini adalah selaras dengan objektif pihak majlis untuk menggalakkan negara yang lebih sihat,” katanya.

Adam turut memuji usaha yang dilakukan ParkCity dan Samling dalam menganjurkan sambutan Hari Krismas dan acara amal tersebut serta turut mengalu-alukan penglibatan lebih banyak syarikat swasta untuk membantu golongan yang memerlukan.

SUMBANGAN: (Dari kiri) Ketua dan Pengurus Pentadbiran Kumpulan Syarikat Samling Albert Tan, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Syarikat Samling James Ho, Ketua Pegawai Operasi Pantai Bayi Indah, Pemaju Induk Marina ParkCity Chee Siew Pin dan Adam menyerahkan replika cek sumbangan kepada wakil tiga rumah amal.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.