Hujan lebat, air pasang besar punca banjir kilat beberapa kawasan di Miri

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

MIRI: Hujan lebat dan air pasang besar dipercayai menjadi punca banjir kilat berlaku di beberapa kawasan di Miri, petang kelmarin.

Menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak, daripada empat stesennya di Miri, stesen Tempat Letak Kereta Perbandaran Miri menunjukkan taburan hujan sangat banyak dengan kod warna merah pada jam 5 hingga 6 petang iaitu dengan catatan 83 milimeter (mm).

Dalam tempoh sama, stesen Miri DID dan Miri Airport mencatatkan taburan hujan banyak dengan masing-masing 59.5 mm dan 44.5 mm, manakala stesen Permy Jaya hanya di paras hujan sedikit dengan 7.0 mm.

Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang dalam satu kenyataannya berkata, dua faktor utama berkenaan yang menyumbang kepada kejadian banjir kilat petang kelmarin.

“Selain hujan turun dengan lebat, faktor air pasang besar yang berlaku pada masa yang sama juga telah menyebabkan banjir kilat tersebut,” katanya.

Dalam kejadian tersebut, beberapa jalan utama dilaporkan dinaiki air banjir antaranya Jalan North Yu Seng, Jalan Miri- Pujut berhadapan Bintang Megamall, Jalan Kingsway, Jalan Tanjong Lobang dan persimpangan lampu isyarat Taman Tunku.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba I Law Poh Kiong berkata, hasil rondaan pasukan bomba dari balai Miri dan Lopeng mendapati semua kawasan kembali pulih seperti sediakala kira-kira jam 7.30 malam.

Sementara itu, satu laporan tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit turut diterima pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurut laporan dari Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, kejadian tanah runtuh tersebut dalam keadaan terkawal dan selamat serta tiada pusat pemindahan dibuka.

DIPANTAU: Kawasan di Kampung Lereng Bukit yang dilaporkan berlaku kejadian tanah runtuh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.