Program ‘Kembali Ke Sekolah’ Food Aid Foundation platform didik pelajar berjimat

Utusan Borneo (Sarawak) - - Nasional -

KOTA BHARU: Program ‘Kembali Ke Sekolah’ anjuran badan bukan kerajaan (NGO), Food Aid Foundation, menjadi platform mendidik pelajar berbelanja dengan bijak.

Penyelia program Kamarul Ariffin Abdul Manan berkata program berkenaan bukan sahaja membantu golongan pelajar kurang berkemampuan menyediakan kelengkapan sekolah tetapi juga mampu mendidik mereka menguruskan kewangan ketika berbelanja.

“Kami memberi kebebasan kepada pelajar berumur tujuh hingga 17 tahun membeli kelengkapan persekolahan dengan dibantu sukarelawan kami yang akan memberikan penerangan kepada pelajar barangan mana yang lebih penting.

“Kita mahu selepas ini, apabila ada bantuan daripada mana-mana pihak, peserta boleh menilai keperluan yang sepatutnya dibeli oleh mereka,” katanya kepada pemberita semasa program berkenaan di pasar raya Tesco di Lembah Sireh di sini, semalam.

Kamarul berkata seramai 80 pelajar kurang berkemampuan dari Kota Bharu dan Pasir Mas dipilih untuk menyertai program tersebut yang dianjurkan bersama Tesco.

“Setiap pelajar diberikan baucar RM200 untuk pembelian pakaian sekolah dan sebanyak tiga program ‘Kembali ke Sekolah’ dianjurkan oleh Food Aid Foundation iaitu di Kelantan, Kedah dan Kuala Lumpur, melibatkan peruntukan sebanyak RM65,000, hasil sumbagan Tesco dan penyumbang lain,” katanya.

Sementara itu, seorang bapa, Bahari Che Pa, 50, berkata program ini amat membantu meringankan beban kewangan bagi menyediakan kelengkapan persekolahan tiga anaknya.

Beliau berkata dengan gaji RM800 sebulan sebagai buruh kasar, ia memberi tekanan kepadanya untuk menyediakan kelengkapan persekolahan kerana seorang anak memerlukan antara RM100 hingga RM150.

“Kebiasaannya saya akan bergilir-gilir membeli kelengkapan sekolah anak-anak dan mujur mereka memahami kemampuan kewangan saya.

“Anak saya yang dapat bantuan ini akan memasuki darjah satu tahun depan. Wang yang disediakan untuknya boleh digunakan untuk membeli kelengkapan anak-anak yang lain,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.