ICERD: PDRM siap siaga hadapi sebarang kemungkinan

Utusan Borneo (Sarawak) - - Nasional -

KUALA LUMPUR: Polis menasihatkan agar peserta perhimpunan kesyukuran kerajaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak mencetuskan sebarang provokasi pada perhimpunan berkenaan, petang semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata ini kerana PDRM bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

Beliau berkata sejak semalam PDRM telah membuat pemantauan dan jumlah peserta ICERD pada pagi semalam dianggar seramai 5,000 orang dan jumlah itu dijangka meningkat pada tengah hari.

“PDRM telah buat persiapan serapi mungkin dan kami berdoa dan berharap agar tiada apa-apa yang berlaku pada petang ini (semalam).

Sekiranya perhimpunan ICERD ini tidak selesai selepas jam 6 petang (semalam), PDRM akan terus memantaunya sehingga ke pagi esok dan tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini,” katanya pada sidang media sempena Majlis Berkhatan Perdana PDRM 2018, di Masjid Bukit Aman di sini, semalam.

Pada Khamis lepas, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata PDRM akan menutup enam jalan di ibu negara bersempena perhimpunan ICERD, bermula 6 pagi semalam.

Tindakan berkenaan dibuat bagi memberi ruang kepada peserta berhimpun di Jalan Raja berdepan bangunan Sultan Abdul Samad selain mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, seramai 74 kanak-kanak berumur dari lapan hingga 10 tahun terdiri daripada anak-anak warga PDRM menyertai majlis berkenaan.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.