Himpunan tolak ICERD selesai lebih awal

Utusan Borneo (Sarawak) - - Nasional -

KUALA LUMPUR: Perhimpunan menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Jalan Raja berakhir lebih awal daripada dijadualkan susulan hujan di ibu negara petang semalam.

Perhimpunan bermula 2 petang itu pada asalnya dijadualkan tamat 6 petang, namun sesetengah peserta dilihat mula meninggalkan lokasi kira-kira 4.30 petang ekoran hujan dan perhimpunan itu ditamatkan sejurus kemudian.

Antara yang hadir bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahmad Zahid dan Hadi turut berucap di perhimpunan itu.

Penganjur perhimpunan sebelum ini dilaporkan berkata perhimpunan itu diadakan sebagai tanda ‘kesyukuran’ di atas keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasikan konvensyen berkenaan dan seterusnya mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 23 Nov lepas, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

Keadaan keselamatan pada keseluruhannya terkawal. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.