Parlimen Malaysia bukan lagi institusi ‘pak turut’ atau ‘rubber stamp’

Utusan Borneo (Sarawak) - - Nasional -

KUALA LUMPUR: Proses reformasi akan terus dilaksanakan untuk mengangkat martabat Parlimen Malaysia menjadi sebuah institusi yang berwibawa, berintegriti dan dihormati, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Ariff Md Yusof.

Beliau berkata Parlimen Malaysia kini bukan lagi institusi menjadi ‘pak turut’ atau ‘ rubber stamp’ seperti dahulu.

“Kita tak nak keadaan ini berulang, parlimen mesti jadi institusi berwibawa dan berintegriti. Orang hormat.

“Bukan orang ingat (parlimen itu) rubber stamp dan tempat orang berkelahi. Itu anggapan dahulu,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan Seminar Reformasi Parlimen di Bangunan Parlimen semalam.

Katanya, langkah reformasi yang dijalankan sejak empat bulan yang lalu, termasuk penambahbaikan Jawatankuasa Kira- Kira Wang Negara ( PAC), penubuhan enam Jawatankuasa Pilihan Khas serta usaha mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen, terus membawa perubahan positif kepada Parlimen supaya ia setaraf dengan parlimen lain di dunia.

Selasa lepas, Mohd Ariff mengumumkan pembentukan enam Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) yang baharu iaitu JPK Menimbang Rang Undang- Undang ( Special Select Committee for Consideration of Bills), JPK Bajet ( Special Select Committee on Budget) dan JPK Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri (Special Select Committee on Defence and Home Affairs).

Tiga lagi ialah JPK Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender (Special Select Committee on Rights and Gender Equality), JPK Hubungan Antara Negeri- Negeri dan Persekutuan ( Special Select Committee on States and Federal Relations) dan JPK Untuk Melantik JawatanJawatan Utama Perkhidmatan Awam ( Special Select Committee on Major Public Appointments).

JPK itu dilihat sebagai antara usaha memperkasa parlimen termasuk dalam soal memainkan peranan ‘ check and balance’ kepada badan eksekutif.

Di samping itu, Mohd Ariff sebelum ini turut mengumumkan penubuhan Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus bagi memperkukuh fungsi institusi Parlimen.

Dalam itu Ariff berkata Parlimen Malaysia juga bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha menambah baik kualiti perbahasan ahli- ahli parlimen supaya lebih bersantun dan beradab dengan buku panduan berbahas secara sopan oleh DBP diedarkan kepada ahli- ahli parlimen minggu lepas.

Katanya, seiring dengan teknologi semasa, Parlimen Malaysia juga telah melancarkan satu aplikasi parlimen, MY Parl, yang membolehkan semua pihak termasuk ahli parlimen dan orang awam mengakses maklumat mengenai parlimen seperti aturan mesyuarat, Hansard serta program yang diadakan melalui telefon pintar mereka. — Bernama

Kita tak nak keadaan ini berulang, parlimen mesti jadi institusi berwibawa dan berintegriti. Orang hormat. Datuk Mohd Ariff Md Yusof Yang Dipertua Dewan Rakyat

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.