Utusan Borneo (Sarawak)

Nasib penjawat awam kehilangan kerja akan dilihat semula: Dr Mahathir

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melihat semula kedudukan sejumlah kakitangan awam yang kehilangan pekerjaan ekoran penutupan agensi-agensi kerajaan dalam usaha memberikan keadilan kepada mereka, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan akan melihat sama ada mereka terlibat atau tidak dalam melakukan kerja-kerja bagi parti politik.

“Memang ramai jadi mangsa atas tindakan kita, kita akan ambil perhatian sebab mereka tak terlibat dalam politik tapi hanya menjadi kakitangan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas mempengeru­sikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Petaling Jaya dekat sini, semalam.

Dr Mahathir berkata pihaknya akan mengumpul data-data mengenai mereka yang terlibat bagi tindakan lanjut.

Beliau turut mengakui kerajaan dikecam hebat ekoran langkah menutup agensi kerajaan berkenaan yang menjejaska­n mata pencarian kakitangan terlibat.

Bagaimanap­un, kata Dr Mahathir, tindakan menutup agensi itu terpaksa dilakukan kerana ia telah disalah guna kerajaan terdahulu bagi tujuan politik, selain kerajaan ketika ini tidak mempunyai dana untuk mengekalka­n agensi tersebut.

“(Kerajaan) tidak boleh teruskan peranan agensi-agensi ini kerana wang datang dari punca tidak diketahui telah digunakan untuk memberi saraan dan hadiah kepada mereka.

“Kita tidak ada wang dan tidak curi wang, jadi hanya bergantung pada pendapatan kerajaan, jadi tak cukup untuk membiayai apa yang dibuat kerajaan lepas,” katanya.

Pada 23 Mei lalu, Dr Mahathir mengumumka­n pembubaran beberapa agensi seperti Suruhanjay­a Pengangkut­an Awam Darat (SPAD), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Majlis Profesor Negara (MPN) dan Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung Persekutua­n (JKKKP). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia