Mourinho ‘gembira’ di Old Trafford
LONDON: Jose Mourinho ‘ sangat gembira’ di Manchester United (MU) walaupun kelab itu kini berdepan dengan cabaran dalam Liga Perdana Inggeris ( EPL), kata ejennya Jorge Mendes kelmarin.
Kenyataan itu menyususli laporan bahawa kelab itu sedang menimbang untuk membawa masuk pengurus Tottenham Mauricio Pochettino bagi menggantikan pengurus Portugis itu selain laporan lain yang mengaitkan kepulangannya ke Real Madrid.
MU mengalami musim yang buruk sekali – mereka menduduki tempat kelapan dalam EPL, 18 mata di belakang Manchester City, dan dengan perbezaan gol yang negatif selepas 15 perlawanan.
Hubungan Mourinho yang bermasalah dengan pemain tengah Paul Pogba dan pemain lain telah menjadi cerita sampingan kepada musim yang tidak menentu.
Satu-satunya perkara yang positif bagi MU ialah mereka sudah mara ke peringkat kalah mati dalam Liga Juara-Juara dengan baki satu perlawanan lagi.
“Semakin banyak khabar angin yang mendakwa Jose Mourinho akan meninggalkan Manchester United,” kata Mendes.
“Ia tidak benar sama sekali. Jose sangat gembira di kelab itu dan kelab itu sangat gembira dengannya. Dia mempunyai kontrak jangka panjang bersama Manchester United dan komited sepenuhnya kepada kelab dalam usaha membina projek yang mantap dan berjaya.”
Mourinho, 55, pada Januari lepas menandatangani lanjutan kontrak yang akan mengekalkannya di Old Trafford sekurang- kurangnya sehingga 2020. — AFP