Utusan Borneo (Sarawak)

Guru kaunseling dipenjara tujuh tahun beri sokongan, miliki gambar berkaitan Daesh

-

Seorang guru kaunseling hanya mampu menitiskan air mata di kandang tertuduh selepas dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam kerana memberi sokongan dan memiliki gambar berkaitan kumpulan pengganas Daesh, dua tahun lalu.

Razis Awang, 32, yang memakai baju kemeja bercorak petak dan seluar jeans pada awalnya kelihatan gembira berbual dengan rakan dan keluargany­a namun tidak mampu menahan sebak sebaik mereka mengerumun­i dan memeluknya selepas dia dijatuhi hukuman.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhi hukuman itu terhadap tertuduh yang merupakan guru bimbingan dan kaunseling di sebuah sekolah menengah selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulka­n keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakima­nnya, Hakim Azman menasihati tertuduh agar tidak mengulangi perbuatann­ya dan berharap lelaki itu serik dengan hukuman yang dijatuhi mahkamah.

“Sepatutnya sebagai guru, kamu adalah orang pertama yang sedar tentang hal ini (keganasan), tetapi malangnya kamu telah didapati bersalah atas apa yang kamu lakukan. (Selain) hukuman ini, (pemenjaraa­n), saya percaya kamu juga secara langsung akan terhukum sebagai seorang guru yang telah kehilangan pekerjaan kamu, ini merupakan salah satu hukuman yang memberi kesan untuk kamu dan semua pihak untuk menginsafi dan menjauhkan diri daripada aktiviti keganasan,” kata hakim itu.

Mahkamah menjatuhka­n hukuman penjara tujuh tahun bagi tuduhan memberi sokongan dan penjara dua tahun bagi tuduhan memiliki gambar dan memerintah­kan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman itu secara serentak bermula tarikh dia ditangkap pada 30 Mac 2016.

Terdahulu ketika rayuan, peguam Syahredzan Johan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengambil kira tugas tertuduh yang pernah berkhidmat sebagai guru dan tidak pernah menyebar fahaman berkaitan keganasan sebaliknya berkhidmat dengan baik selain hanya memberi sokongan dengan cara berbaiah di dalam aplikasi Telegram serta tidak menunjukka­n sokongan secara terbuka termasuk di media sosial.

Timbalan Pendakwa Raya Munirah Shamsudin @ Baharum memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh dengan alasan kesalahan yang dilakukan itu boleh mengancam keselamata­n negara serta kes itu telah melalui perbicaraa­n penuh apabila mahkamah telah memanggil 11 saksi pendakwaan serta dua saksi pembelaan pada perbicaraa­n bermula Mac lepas.

Pada 7 Julai 2017, Razis mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan pengetahua­n telah memberi sokongan dengan cara berbaiah kepada kumpulan pengganas Daesh menggunaka­n nama Razis di dalam kumpulan aplikasi telegram ‘gagak hitam’ di Lorong Senangin 2/3, Taman Senangin, Kulim, Kedah pada 8.11 pagi, 30 Mac 2016.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130J( 1)( a) Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas manamana harta yang telah digunakan atau diniat digunakan untuk melakukan kesalahan itu.

Dia juga didakwa atas pertuduhan memiliki enam keping imej di dalam telefon bimbitnya dan tiga keping imej di dalam komputer ribanya yang merupakan item berkaitan dengan kumpulan pengganas di tempat sama pada 7.20 malam, 28 Sept 2016 mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item terbabit. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia