Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan sekat eksport ikan dan udang tampung kekurangan semasa musim tengkujuh, perayaan

-

Kerajaan menyekat eksport empat spesies ikan dan dan udang tangkapan dalam usaha menampung kekurangan bekalan di pasaran semasa musim tengkujuh dan perayaan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata Sekatan Eksport Spesies Ikan Terpilih mulai 1 Jan hingga 28 Feb 2019 melibatkan ikan segar dan sejuk beku spesies kembung, selar, pelaling, bawal selain udang tangkapan.

Katanya tiga persatuan yang berperanan mengimbang­i keperluan semasa fenomena bersifat sementara ini adalah Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Persatuan Nelayan Negeri Kedah (NEKAD) dan Persatuan Nelayan Kawasan Besut (PNK BESUT).

“Ketiga-ketiga persatuan berkenaan turut diberi tanggungja­wab untuk menjadi pusat simpanan ikan sejuk beku dan mengerakka­n bekalan bahan mentah itu ke seluruh negara.

“Setakat ini, jumlah stok simpanan ikan sejuk beku adalah sebanyak 400 tan metrik di ketiga-tiga pusat simpanan berkenaan,” katanya pada sidang media di Parlimen semalam.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata kerajaan akan membenarka­n penggunaan Pukat Tunda Musim Tengkujuh (PTMT) kepada pengusaha vesel tradisiona­l bermuatan 15 GRT di negeri pantai timur semenanjun­g iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor di bahagian timur bagi menangkap udang.

Beliau berkata kebenaran itu akan diberikan pada Jan dan Feb 2019 bagi membantu tingkat pendapatan nelayan semasa musim tengkujuh dengan syarat memasang Alat Peranti Penyisih Penyu (TED).

“Sehingga kini, terdapat 148 PTMT di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur. Jabatan Perikanan juga menerima 45 permohonan baharu yang memenuhi syarat.

“Statistik perikanan 2017 menunjukka­n pendaratan udang di Malaysia adalah 115,000 tan metrik dengan PTMT menyumbang tiga peratus daripada jumlah itu,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia