Utusan Borneo (Sarawak)

Tiada tolak ansur dengan pihak salah guna lesen pembalakan: Ahmad Faizal

-

Kerajaan negeri Perak tidak akan bertolak ansur dengan manamana pihak yang didapati menjalanka­n kegiatan pembalakan haram dengan menyalahgu­nakan lesen diberikan di sekitar kawasan hutan simpan kekal di daerah Hulu Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan jika benar dakwaan seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan semalam mengenai pembalakan haram di Perak, tindakan segera mesti diambil kerana kerajaan negeri serta Jabatan Perhutanan Perak tidak merestui perbuatan itu terutamany­a dakwaan penerimaan suapan oleh penguatkua­sa.

“Jadi, tindakan saya seterusnya pada hari ini, saya telah meminta Setiausaha Sulit Kanan saya untuk membuat laporan polis dan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan laporan ini kerana saya kira, mereka adalah pihak berkuasa yang boleh mendapatka­n lebih maklumat.

“Apabila laporan sebegini keluar, Jabatan Perhutanan telah masuk ke kawasan dilaporkan semalam. Itu tindakan yang kita boleh buat tetapi jika benar melanggar perlesenan hutan dan sebagainya, kita perlu ambil tindakan lain tetapi maklumat itu kita tidak ada,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penyerahan hak milik tanah kepada 179 peneroka FELDA Sungai Behrang di sini semalam.

Kelmarin, akhbar tempatan berbahasa Melayu melaporkan lapan syarikat didakwa ‘kebal’ daripada sebarang tindakan meskipun menjalanka­n kegiatan pembalakan haram dengan menyalahgu­nakan lesen diberikan di kawasan hutan simpan kekal di Hulu Perak.

Laporan itu mendakwa kesemua syarikat berkenaan semakin bermaharaj­alela menarah hutan sesuka hati atas alasan memiliki lesen yang ‘direstui’ pihak atasan sedangkan mereka menjalanka­n pembalakan melebihi had kawasan ditetapkan di bawah lesen itu.

Ahmad Faizal berkata pihaknya memerlukan lebih maklumat dan meminta akhbar berkenaan memberikan kerjasama kepada Jabatan Perhutanan berhubung senarai lapan syarikat yang didakwa terlibat menjalanka­n pembalakan melebihi had kawasan di bawah lesen.

Beliau turut menjelaska­n bukan semua hutan rizab tidak boleh dijalankan pembalakan kerana ada yang dibenarkan tertakluk kepada beberapa peraturan yang amat ketat.

“Jadi saya bimbang, ada pihak memikirkan bila kita bagi lesen balak ini, (mereka) boleh tebang pokok apa sekalipun. (Sebenarnya) Tidak, dia ada ‘tagging’ dan proses ini mengambil masa yang panjang.

“... dan saya percaya kalau ada pun lesen- lesen pembalakan yang sedang diusahakan sekarang ini, ia lesenlesen pembalakan daripada pentadbira­n terdahulu sebab ia ambil masa panjang, nak buat ‘ tagging’ dan sebagainya,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia