Prasarana Lapangan Terbang Tawau akan ditambah baik
Lapangan Terbang Tawau (LTT) antara yang akan mendapat perhatian untuk ditambah baik dari segi prasarananya oleh Malaysia Airport Berhad memandangkan daerah ini berpontesi menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negeri.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata LTT antara enam lapangan terbang di negara ini yang akan mendapat peruntukan untuk menambah baik prasarananya, walaupun pada asalnya pihaknya memohon untuk menjadikan LTT sebagai lapangan terbang antarabangsa.
“Saya sudah kemukakan di peringkat parlimen berkenaan penaiktarafan LTT daripada domestik kepada antarabangsa tetapi pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia tidak meluluskan permohonan itu.
“Namun, kerajaan akan memastikan LTT mendapat kemudahan yang baik seperti perkhidmatan keselamatan, surau, tandas, kaunter imigresen dan lain-lain,” katanya.
Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata demikian ketika sidang medianya di sini pada Sabtu.
Menurutnya, penambahbaikan kemudahan di LTT perlu disegerakan memandangkan daerah ini sedang mempromosikan ‘Cuti-cuti Tawau 2019’ untuk menjadikan Tawau sebagai hab pelancongan dengan memperkenalkannya sebagai syurga makanan.
Beliau percaya dengan adanya promosi Cuti-cuti Tawau 2019, akan merancakkan lag sektor pelancongan sekali gus memberi impak positif kepada perniagaan di daerah ini.