Utusan Borneo (Sarawak)

Bendera bomba dikibar separuh tiang

-

Bendera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan dikibar separuh tiang di semua premis jabatan itu bagi memperinga­ti pemergian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata kibaran bendera bomba separuh tiang itu dilaksanak­an selama tiga hari bermula semalam sehingga Khamis.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Buat keluarga Muhammad Adib, ucapan takziah daripada seluruh warga JBPM. Semoga anggota keluarga Muhammad Adib diberi kekuatan dalam menempuh ketentuan Ilahi.

“Bersama-samalah kita berdoa agar roh Muhammad Adib ditempatka­n dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata jasa dan nama Muhammad Adib akan disemadika­n bersama-sama Wira Merah di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah Kuala Kubu Bharu, Selangor dan diabadikan dalam lipatan sejarah kebombaan negara.

Mohammad Hamdan berkata demi menegakkan keadilan, besar harapan JBPM agar tindakan undang-undang yang tegas diambil terhadap pihak yang bertanggun­gjawab ke atas kecederaan dan kematian Muhammad Adib.

“Jabatan juga ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih buat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang turut memberi penghormat­an terakhir di Pangkalan Udara Subang, pagi tadi (semalam).

“Tidak lupa juga setinggiti­nggi penghargaa­n dirakamkan kepada semua pihak khususnya Pemangku Yang DiPertuan Agong, Sultan Nazrin Shah, Sultan Kedah Al Aminur Karim Sultan Sallehuddi­n Ibni Almarhum Sultan Badlishah, dan semua yang terlibat sejak Muhammad Adib mendapat rawatan sehinggala­h selesai urusan pengebumia­n beliau,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit bantuan Perkhidmat­an Kecemasan ( EMRS) balai Bomba dan penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera parah dipercayai dipukul oleh perusuh dalam kejadian di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Allahyarha­m ketika itu menyertai operasi memadam kebakaran di hadapan premis berkenaan.

Allahyarha­m meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira jam 9.41 malam kelmarin dan susulan itu Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab dilaporkan berkata kes tersebut diklasifik­asikan semula sebagai kes bunuh. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia