Utusan Borneo (Sarawak)

Penat lelah Syarul dan Lilian berbaloi

-

Segala penat lelah diharungi oleh Syarul Azman Mahen Abdullah dan Lilian Tan bagi persediaan Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia di Chiang Mai, Thailand minggu lepas terbalas bila kedua-duanya meraih pingat emas kejohanan itu.

Mencerita kesukaran yang dihadapi, Syarul Azman berterima kasih dengan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang telah membantu menyelesai­kan duit kemenangan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bernilai RM20,000 yang tertangguh hampir setahun.

Lebih membanggak­an Syarul Azman yang juga merupakan juara Asia pada Oktober lalu, telah muncul atlet pertama di dunia yang memenangi hatrik bagi kategori fizik 167 sen- timeter.

“Menteri Syed Saddiq bantu saya dapatkan insentif SHAKAM tahun lepas selepas menang juara dunia tahun lalu. Hampir setahun saya tunggu. Kalau dia tidak bantu, saya tidak akan bertanding di Kejohanan Dunia ini. Saya memang tiada duit untuk buat persediaan,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur 2.

Skim tersebut terletak di bawah Majlis Sukan Negara (MSN).

“Saya tahu kategori saya ini ramai yang sertai, cabaran saya lebih sengit tahun ini kerana turun sebagai juara bertahan... sebelum hari pertanding­an ramai pegawai-pegawai daripada pasukan lain memberitah­u saingan kali ini 50-50... tidak dinafikan sedikit mengganggu fokus saya.

“Apabila jurulatih memberitah­u kematangan otot saya lebih baik daripada peserta lain. Saya kembali yakin. Sebelum final bermula, jurulatih menasihatk­an saya kurangkan minum air. Saya hampir 15 jam tak minum air... saya hanya mengambil makanan yang kering sahaja, saya kawal pemakanan kerana tidak mahu melakukan kesilapan pada final,” katanya.

Bagi Lilian, beliau menyifatka­n kejayaanny­a meraih dua pingat emas di Kejohanan Dunia adalah pencapaian terbaik dalam kariernya.

Atlet berasal dari Pulau Pinang itu telah membuat persiapan selama dua tahun untuk meraih gelaran juara buat kali keempat di kejohanan dunia itu.

Seperti Syarul Azman, Lilian turut menghadapi kekangan kewangan namun hasil kutipan dana yang dilakukan oleh rakannya di media sosial dapat membantu persediaan­nya.

“Saya dapat mengumpul duit daripada dana itu sebanyak 15 peratus sahaja. Selebihnya saya guna duit sendiri. Terima kasih kepada penyokong yang memberikan bantuan kepada saya,” katanya.

Atlet berusia 45 tahun itu memenangi kategori 55 kilogram wanita sekali gus mengulangi pencapaian di Bangkok pada 2012, Mumbai (2014) dan Pattaya (2016).

Dia turut merangkul gelaran bagi kategori peserta 30 tahun ke atas sekali gus menjadi atlet wanita pertama yang memenangi dua trofi dalam satu edisi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia