Utusan Borneo (Sarawak)

Zaquan Adha sah milik skuad Lang Merah

-

Desasdesus berhubung destinasi kapten skuad Harimau Malaya, Zaquan Adha Abdul Radzak akhirnya terjawab apabila beliau sah menyertai pasukan Kedah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2019.

Penyertaan Zaquan yang merupakan bekas pemain Kuala Lumpur ke dalam skuad Lang Merah dimaklumka­n Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dalam entri terbaharu menerusi laman Facebook mereka.

Zaquan membantu skuad negara muncul naib juara Piala AFF Suzuki 2018 mengikat kontrak selama setahun dan pengalaman luas di peringkat antarabang­sa dijangka dapat membantu skuad Hijau Kuning dalam saingan Liga-M musim depan.

“Beliau tertarik memakai jersi hijau kuning selepas kerap berhubung dengan Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak dan pengurusan bagi perancanga­n rapi untuk musim depan,” jelas KFA.

Dalam pada itu, KFA turut mengumumka­n kehadiran dua pemain import baharu yang pernah beraksi dengan kelab Liga Satu Indonesia, penyerang, Fernando Rodriguez Ortego dari Sepanyol dan pemain pertahanan, Renan Da Silva Alves dari Brazil.

Fernando sebelum ini beraksi dengan kelab Mitra Kukar FC manakala Renan bersama kelab Borneo FC.

KFA sebelum ini mendapatka­n khidmat pemain antarabang­sa Singapura, Muhammad Shakir Hamzah dari kelab Home United FC selain pemain tengah Army United FC, Thailand, Anmar Fares Abdul Jabar Almubaraki dari Iraq. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia