Utusan Borneo (Sarawak)

PRK Cameron Highlands pada 26 Januari 2019

-

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands akan diadakan pada 26 Januari 2019.

Pengerusi Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata, hari penamaan calon diadakan pada 12 Januari, manakala hari mengundi awal pada 22 Januari.

“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari, bermula pada hari penamaan calon sehingga jam 11.59 malam 25 Januari 2019,” katanya pada sidang media selepas mempengeru­sikan mesyuarat urusan PRK Cameron Highlands, di sini semalam.

Azhar berkata, daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRK tersebut adalah sehingga suku ketiga 2018 yang mengandung­i 32,009 pemilih berdaftar terdiri daripada 31,750 pengundi biasa, pengundi awal (247), pengundi tidak hadir luar negara (12).

“Bagi PRK ini, SPR menyasarka­n 70 peratus pengundi akan keluar mengundi,” katanya.

Pada PRK Cameron Highlands, Azhar berkata, SPR buat pertama kalinya akan menyiarkan proses pengiraan undi di satu saluran terpilih secara langsung melalui media sosialnya bagi memberi pendedahan kepada umum.

“Ini juga dilakukan supaya proses pengiraan undi lebih telus. Kita buat percubaan di satu saluran sahaja kerana infrastruk­tur jalur lebar agak terhad di Cameron Highlands, tetapi di masa hadapan mungkin kita akan lebihkan lagi saluran terlibat,” katanya.

Katanya, SPR juga akan menyiarkan kepada umum keputusan awal PRK iaitu keputusan yang tertakluk kepada pengesahan melalui laman sesawang SPR dan paparan skrin di pusat penjumlaha­n rasmi undi.

Selain itu, Azhar berkata, bagi memudahkan seramai 385 golongan kurang upaya (OKU) yang telah dikenal pasti, mereka akan mengundi di saluran satu.

Bagi menjalanka­n proses PRK itu, katanya, SPR ber- setuju melantik Pegawai Daerah Cameron Highlands Datuk Ishak Md Napis sebagai pegawai pengurus pilihan raya.

Azhar berkata, SPR akan menggunaka­n Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands sebagai pusat penamaan calon, manakala pusat penjumlaha­n rasmi undi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.

Menurutnya, seramai 811 petugas dilantik untuk mengendali­kan proses PRK P.078 Cameron Highlands.

Tambahnya, sebanyak 31 pusat mengundi akan dibuka melibatkan keseluruha­n 88 saluran dengan perbelanja­an dianggarka­n sebanyak RM3.5 juta.

PRK Cameron Highlands adalah PRK kelima diadakan selepas PRU14 dengan yang pertama diadakan di Dewan Undangan Negeri ( DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos; DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September); serta Parlimen Port Dickson (13 Oktober).

PRK itu diadakan berikutan penyandang­nya Datuk C. Sivarraajh gagal mengemukak­an rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytih­arkan bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kawasan itu adalah terbatal dan tidak sah.

Pada Pilihan Raya Umum Ke- 14 ( PRU14) lepas, Sivarraajh daripada Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang melibatkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi, menewaskan empat calon lain iaitu calon DAP M. Manogran yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS – 3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (BERJASA – 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM – 680 undi).

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lepas dengan memohon pengisytih­aran bahawa keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada 30 November lepas, Mahkamah Pilihan Raya mengisytih­arkan kemenangan BN bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU14 adalah terbatal dan tidak sah selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaru­hi pengundi di kawasan itu.

Dewan Rakyat kelmarin menerima surat pemakluman daripada pengerusi SPR mengenai kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Cameron Highlands mulai 15 Disember lepas. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? UMUMTARIKH: Azhar (kiri) bersama Pegawai Pengurus PRK Parlimen P078 Cameron Highlands, Pahang Datuk Ishak Md Napis pada sidang media pengumuman tarikh PRK Parlimen P078 Cameron Highlands di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya semalam.
— Gambar Bernama UMUMTARIKH: Azhar (kiri) bersama Pegawai Pengurus PRK Parlimen P078 Cameron Highlands, Pahang Datuk Ishak Md Napis pada sidang media pengumuman tarikh PRK Parlimen P078 Cameron Highlands di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia