Utusan Borneo (Sarawak)

Ibu pejabat parti Kabila ‘digeledah’, seorang pembantah ditembak mati

-

Seorang individu maut di satu tunjuk perasaan pada Selasa untuk membantah ketibaan calon “pro-Kabila” di sebuah bandar di bahagian tengah Republik Demokratik Congo (DRC), beberapa hari sebelum pilihan raya yang akan menyaksika­n negara itu muncul daripada kepimpinan Presiden Joseph Kabila selama 17 tahun.

Pergolakan di Tshikapa, sebuah bandar di wilayah tengah Kasai, turut menyaksika­n ibu pejabat parti presiden digeledah, menurut saksi.

Butiran mengenai bagaimana mangsa itu mati di Tshikapa masih belum diketahui tetapi sebuah badan bukan kerajaan tempatan berkata askar telah melepaskan tembakan untuk meleraikan penunjuk perasaan di bandar itu dan menembak seorang wanita pasar di bahagian kepala.

Satu lagi sumber tempatan mengesahka­n kematian itu tetapi tidak memberi maklumat tentang bagaimana mangsa itu terbunuh. Tiada pengesahan rasmi segera diterima daripada pihak berkuasa tempatan.

Keganasan itu berlaku selepas sekurang- kurangnya seorang individu lain terbunuh dan lebih 80 lagi cedera dalam rusuhan yang berlaku pada hujung minggu lepas di bandar itu, pergolakan terbaharu menjelang pilihan raya yang tegang pada 23 Disember.

“Askar terbabit, yang menyokong polis, melepaskan tembakan untuk meleraikan penunjuk perasaan. Seorang wanita yang menjual bara di pasar Sokajik terkena tembakan di bahagian kepala,” kata ketua sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Congo yang berada di tempat kejadian.

Lawatan kempen oleh calon “pro- Kabila”, Emmanuel Ramazani Shadary, seorang bekas menteri dalam negeri dan sekutu erat presiden, dibatalkan selepas keganasan itu berlaku.

“Calon Emmanuel Ramazani Shadary akan mengatur semula jadual lawatan ke Tshikapa esok atau lusa seleaps menilai situasi keselamata­n,” kata salah seorang ahli keluargany­a kepada AFP.

Imej pejabat presiden yang digeledah dikongsi dengan meluas dalam media sosial.

Paparan video turut menunjukka­n ratusan orang muda, ada yang bersenjata­kan kayu, berarak dan melaungkan slogan kelmarin untuk membantah ketibaan Ramazani Shadary.

Beberapa orang sudah maut dalam keganasan pra-pilihan raya sejak kempen bermula pada 22 November lepas.

Sebuah kumpulan hak sivil Persatuan Congo bagi Akses Kepada Keadilan ( ACAJ) menyebut dalam satu kenyataan pada Selasa bahawa 10 orang sudah terkorban.

Seramai 21 calon bertanding untuk menggantik­an tempat Kabila, 47, yang memerintah negara yang kaya dengan hasi galian itu sejak pembunuhan bapanya pada 2001.

Kerajaan barat memantau dengan dekat keganasan pilihan raya dan keputusan undian di negara Afrika besar dan luas itu yang tidak pernah mengalami peralihan kuasa yang aman sejak kemerdekaa­n daripada Belgium pada 1960

Fokus diberikan kepada pilihan raya itu ketika pihak berkuasa melaporkan sekurang-kurangnya 45 kematian sejak Ahad lepas dalam keganasan etnik di barat DRC yang mencetuska­n pelarian secara beramai-ramai ke negara jiran Congo-Brazzavill­e.

“Keganasan bermula pada malam 15-16 Disember, jumlah sementara adalah 45 kematian dan lebih 60 tercedera,” kata gabenor wilayah Mai-Ndombe Gentiny Ngobila. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia