Utusan Borneo (Sarawak)

Pemuda mengaku rompak kedai dipenjara, disebat

-

Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhka­n hukuman lapan tahun penjara berserta dua sebatan ke atas seorang pemuda yang mengaku bersalah merompak sebuah kedai 24 jam, awal pagi Krismas tahun lepas.

Tertuduh Rizwan Majidi, 22, didakwa merompak wang berjumlah RM1,000 dan barangan milik sebuah kedai 24 jam di Jalan Aman pada 25 Disember, 2018, kira-kira jam 6 pagi.

Ketika melakukan rompakan itu, tertuduh turut bersenjata­kan sebilah parang.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun yang sama.

Mengikut fakta kes, pengadu yang juga pembantu kedai telah didatangi seorang lelaki yang dikenali sebagai tertuduh yang mahu membeli kad isian semua prabayar telefon bimbit.

Tertuduh kemudian memberitah­u pengadu bahawa dia mahu mengambil wang terlebih dahulu lalu keluar dari kedai sebelum datang semula dengan adiknya.

Apabila tiba di kaunter kedai, tertuduh mengacukan sebilah parang ke arah pengadu dan meminta pengadu menyerahka­n wang.

Ketakutan dan bimbang dengan keselamata­nnya, pengadu kemudian menyerahka­n wang berjumlah RM1,000 kepada tertuduh yang kemudian melarikan diri.

Bertindak atas laporan, polis telah menangkap dua pemuda termasuk tertuduh pada 26 Disember, 2018, kira- kira jam 11.40 pagi serta merampas sebilah parang, dua topi keledar, baju-T warna hitam dan telefon bimbit.

Siasatan lanjut berdasarka­n rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati tertuduh telah masuk ke dalam kedai dan memukul pengadu menggunaka­n parang.

Selepas mendapat wang, tertuduh bertindak melarikan diri.

Siasatan juga mendapati tertuduh datang ke kedai bersama adiknya, namun adiknya tidak masuk ke dalam kedai.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia