Penutupan kerajaan AS ‘mungkin lama’: Trump
Selagi tuntutan untuk AS$5.6 bilion untuk membina tembok sempadan dengan Mexico tidak dipenuhi
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berjumpa dengan penggubal undang- undang terkemuka dari Parti Demokrat pada Rabu tetapi mereka gagal mencapai persetujuan untuk menamatkan penutupan sebahagian kerajaan kerana permintaannya bagi berbilion dolar untuk membina tembok sempadan dengan Mexico.
Sehari sebelum ahli Demokrat mengambil alih Dewan Rakyat, Trump tidak menunjukkan sebarang tanda akan berganjak daripada tuntutannya agar Kongres meluluskan AS$5.6 bilion (RM22.4 bilion) untuk tembok selatannya yang “cantik”.
Trump mengadakan perjumpaan tertutup di Rumah Putih dengan Nancy Pelosi, ahli Demokrat yang mengambil alih jawatan speaker Dewan pada Khamis, dan Chuck Schumer, ketua minoriti Senat, tetapi tiada tanda menunjukkan sebarang kemajuan dalam usaha menyelesaikan kebuntuan itu.
“Kami meminta presiden menyokong rang undangundang yang kami sokong untuk membuka kerajaan,” kata Schumer. “Saya bertanya terus kepadanya, saya kata ‘Tuan Presiden, beri saya satu sebab yang baik kenapa anda harus meneruskan penutupan anda’.
“Beliau tidak dapat memberikan jawapan yang baik,” kata Schumer.
Ahli Republikan Kevin McCarthy, yang akan menjadi ketua minoriti dalam Dewan seterusnya, berkata para pemimpin Demokrat dan Republikan akan kembali ke Rumah Putih pada hari ini ( Jumaat) untuk rundingan selanjutnya.
“Ini tidak perlu dilanjutkan dengan sangat lama,” kata McCarthy.
Namun Trump berkata beliau bersedia untuk bertahan “selama yang diperlukan” untuk mendapatkan wang yang beliau pohon untuk tembok sempadan.
“Kita bercakap mengenai keselamatan negara,” katanya di satu mesyuarat kabinet sebelum pertemuannya dengan Pelosi, Schumer dan ahli-ahli terkemuka Republikan.
“Ia adalah subjek yang terlalu penting untuk diabaikan. Saya rasa rakyat negara ini berpendapat saya adalah betul,” kata Trump, yang menambah ia “mungkin lama” sebelum kerajaan dibuka semula.
Pertemuan Trump dengan Pelosi dan Schumer merupakan yang pertama sejak satu pertemuan yang kesat di Pejabat Bujur bersama dua tokoh itu pada 11 Disember lepas.
Ahli Demokrat berkata tembok sempadan, salah satu janji kempen penting Trump, adalah satu usaha mengalih perhatian daripada masalah imigresen yang lebih rumit selain alat bagi Trump untuk mendapatkan sokongan di kalangan pengundinya yang konservatif.
Ketegangan itu menyebabkan ratusan ribu pekerja persekutuan bekerja pada waktu cuti Krismas dan Tahun Baharu – dan pada masa terdekat sehingga perjanjian dicapai.
Di tengah-tengah kebuntuan berhubung tembok, Trump membatalkan percutian Krismas tahunannya di Florida, sebaliknya memilih untuk terus berada di Washington dan menulis siri tweet yang marah – dan selalunya mengelirukan.
“Kebanyakan tembok sudah diubah suai atau dibina,” tegasnya, selain dakwaan mencurigakan bahawa Mexico akan membayar untuk tembok itu menerusi perjanjian dagangan baharu antara kedua-dua negara.