Utusan Borneo (Sarawak)

Najib yakin BN menang di Cameron Highlands

-

Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak yakin parti itu dapat mengekalka­n kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Jan ini.

Beliau berkata jangkaan itu dibuat selepas mengambil kira ‘mood’ semasa rakyat yang kecewa dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang beliau dakwa gagal menunaikan banyak janji semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Ia (gagal menunaikan janji) boleh menjadi faktor utama penolakan oleh pengundi di kawasan terbabit. Kita (BN) ada peluang baik untuk mempertaha­nkan kerusi Parlimen Cameron Highlands berdasarka­n suasana dan mood rakyat ketika ini.

“Kalau semua jentera BN menggunaka­n strategi yang betul maka tiada masalah untuk kita kekalkan kerusi (Parlimen Cameron Highlands) itu,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaia­n Bantuan Awal Persekolah­an anjuran Yayasan Pahang dan Pejabat Anggota Parlimen Pekan di Sekolah Menengah Agama (SMA) Tengku Ampuan Fatimah dekat sini, semalam.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Okt lepas, membatalka­n kemenangan calon BN Datuk C. Sivarraajh pada PRU14 ekoran berlaku unsur rasuah untuk mendapatka­n undi.

Suruhanjay­a Pilihan Raya ( SPR) menetapkan 12 Jan ini sebagai tarikh penamaan calon.

Pada perkembang­an lain, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan menempelak dakwaan Penasihat DAP Lim Kit Siang yang mendakwa kerajaan BN sebelum ini tidak banyak membantu masyarakat Orang Asli.

Beliau menyifatka­n dakwaan itu berniat untuk mengeliruk­an rakyat terutamany­a masyarakat Orang Asli, khususnya di Cameron Highlands kerana ‘ BN telah banyak membantu golongan tersebut di seluruh negara’.

“Saya sendiri melancar- kan penempatan semula perkampung­an Orang Asli Sungai Ruil di Cameron Highlands. Kita boleh lihat sendiri betapa rumah kediaman mereka ketika ini sangat selesa.

“Memang banyak lagi yang kita rancang untuk membantu masyarakat berkenaan dan kita kena tengok faktor geografi kawasan penempatan mereka... ada yang jauh di kawasan pedalaman yang mengambil masa untuk pelaksanaa­n projek pembanguna­n yang dirancang.

“...namun untuk mengatakan bahawa kerajaan BN tidak mempedulik­an nasib masyarakat Orang Asli adalah tidak benar sama sekali,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia